suria

Kali pertama sertai pameran 5 karya ‘sold out’! Artis bongsu Rajawali-X ini makin gigih atur langkah cipta nama

Nur Khairi Hamidi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai penolong kurator untuk pameran Rajawali X: Episod Dua yang disertai nama-nama besar dalam arena pengkaryaan seni lukis.

SEKALI pandang anak muda ini kelihatan biasa-biasa sahaja, tapi jangan terkejut kerana darah seni dalam dirinya sebenarnya bukan calang-calang.

Walaupun masih hijau, namun pemuda berusia 23 tahun ini sudah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai penolong kurator bagi sebuah pameran yang disertai nama-nama besar dalam arena pengkaryaan seni lukis.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemilik nama Nur Khairi Hamidi Abdul Wahab berkata, dia melihat peluang berkenaan sebagai satu platform untuk mengembangkan potensi dan bakatnya untuk pergi lebih jauh dalam bidang berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cipta model jentera guna kertas, bahan terbuang... bakat remaja ini buat ramai terpana! 

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU bakal ke Moscow, wakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa - “Jangan malu kerana kekurangan, tapi berusaha untuk sesuatu yang lebih besar dalam hidup”

“Selain diberi tanggungjawab sebagai penolong kurator, saya juga merupakan salah seorang artis yang turut sama mengambil bahagian bersama 11 nama hebat yang lain.

“Bercakap mengenai tugas sebagai penolong kurator, skop tugas saya menumpukan kepada pemasangan karya-karya artis kerana ia tidak boleh sembarangan dipasang, membuat hebahan, katalog pameran dan pada hari pelancaran 25 Oktober ini, saya bertindak sebagai pengarah acara,” ujarnya.

Midi  (belakang dua dari kiri) merupakan artis paling muda di dalam kumpulan artis yang menyertai pameran Rajawali-X: Episode Dua

Lebih mesra dengan panggilan Midi, pemuda ini berkata dia bangga kerana menjadi generasi pelapis sehingga berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang ahli dalam kumpulan Rajawali Art Groupe Internationale, sebuah kumpulan kolektif seni yang diasaskan di Kuantan pada 2007 oleh Abdullah Jones atau AJ, seorang pelukis terkenal.

“Sebelum ini ada khabar mengatakan kumpulan ini sudah berkubur, tapi sebenarnya tidak. Jadi pameran ini merupakan kemunculan semula Rajawali dan ia bertujuan untuk sustain seni di Kuantan.

“Saya boleh dikira sebagai generasi Z, orang baru dalam kumpulan ini. Dengan gabungan generasi X hingga generasi Z, perbezaan itu mampu membentuk satu titik tengah,” ujarnya.

Midi diberi tanggungjawab sebagai penolong kurator untuk pameran Rajawali-X: Episode Dua.

Menariknya tentang latar belakang pemuda ini, dia sebenarnya mula menceburkan diri dalam bidang seni halus sewaktu mendapat pendidikan di peringkat tingkatan enam.

“Sebenarnya saya merupakan pelajar jurusan Sains Tulen sewaktu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika menyambung pengajian ke tingkatan enam, barulah saya ambil subjek seni dan ketika itu juga saya mula melukis. Sewaktu STPM, saya memperoleh B+ untuk subjek seni.

“Bila masuk universiti, saya teruskan dengan jurusan seni juga sebab nak kembangkan potensi, namun saya hanya betul-betul jatuh cinta dengan seni sewaktu semester tiga,” ujarnya.

Anak kedua daripada lapan beradik ini gemar menerapkan elemen strok tebal (impasto) dan gestural mark di dalam karyanya, selain banyak bermain dengan warna. 

Gestural mark tu lebih kepada kesan-kesan hasil daripada pergerakan artis itu sendiri. Maksudnya effect tu mendatangkan hasil yang dinamik iaitu tidak kaku,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan ini.

Anak muda ini optimis meneruskan kerjaya dalam bidang seni kerana yakin bidang tersebut mampu menjanjikan masa depan yang cerah.

“InsyaAllah, sebab seni pun boleh dijadikan sumber utama dalam mata pencarian kalau kita pandai mencari plaftorm yang betul untuk menjual karya-karya yang bersifat komersial,” tambahnya.

Salah satu karya abstrak Midi yang terjula ketika pameran di UiTM, Julai lalu.

Berbekalkan bakat, kesungguhan dan keikhlasan, kerja keras Midi akhirnya membuahkan hasil dan ia terbukti apabila karyanya sold out sewaktu menyertai pameran pada Julai lalu.

“Lima karya abstrak yang dihasilkan menerusi teknik oil painting on canvas terjual. Ia sangat menggembirakan tambahan pula ia adalah pameran pertama yang saya sertai. Dan Rajawali X: Episode Dua pula pameran kedua yang saya sertai, tapi kali ini saya mempertaruhkan hanya satu karya,” ujar anak muda yang berasal dari Kuantan ini.

Karya ini juga antara yang sold out.

Bercita-cita untuk menganjurkan pameran solo satu hari nanti, Midi berkata dia mahu menggunakan seni sebagai platform bukan saja untuk mengembangkan bakatnya, tetapi mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

“Saya punya impian dan perancangan mahu menganjurkan bengkel untuk pelajar serta apa juga program, asalkan konsepnya art for society,” ujar Midi.

Pameran Rajawali-X: Episode Dua di Kuantan disertai 12 artis termasuk Midi sendiri, Annajohari, Mohd Khairul Abas, Abu Yusof, Ajis Mat Zin, Najihah Lee, Nazri Chot, Radzuan Mat Diah, Ruslan Khalid, Ali Shamsul Bahar, Uyu dan Syed Azimal.

Orang ramai berpeluang menyaksikan karya artis Rajawali-X sehingga November ini.

Bagi edisi pameran kali ini yang akan berlangsung sehingga penghujung November ini, pensyarah di Kolej Universiti Yayasan Pahang, Mohd Kairul Abas dipertanggungjawabkan selaku kurator.

Bertempat di 90 Degrees Cafe & Art, Jalan Air Putih, Kuantan, pameran Rajawali-X: Episode Dua ini terhasil melalui kerjasama di antara Rajawali Outerspace, Kolej Yayasan Pahang, 90 Degrees Cafe & Art dan Balai Seni Negara. 


Artikel Lain