suria

Jin asalnya mengikut telunjuk Nabi Sulaiman, manusia harus jauhi makhluk itu

Jin sentiasa berusaha menakut-nakutkan manusia. Gambar hiasan.

SALAM semua… semoga dirahmati Allah dan dijauhkan daripada bahaya jerebu yang melanda negara kita ketika ini.

Artikel kali ini masih lagi berkenaan jin, kesinambungan dua keluaran lepas yang menyentuh perkara sama.

Saya teringat kisah Nabi Sulaiman AS yang mana Allah kurniakan kepada baginda sebuah kerajaan yang belum pernah diberikan kepada nabi yang lain sebagaimana dalam doanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun anai-anai makan tongkat Nabi Sulaiman, baharulah semua makhluk sedar baginda wafat

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman ustaz dipenuhi jin gara-gara rumah kosong jiran sebelah... ada petua elak gangguan

“Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku.” - [Shod:35].

Maka Allah anugerahkan nabi Sulaiman AS dengan empat mukjizat, salah satunya Allah tundukkan jin kepadanya. Allah berfirman ertinya: “Dan (kami mudahkan baginya memerintah) jin/ Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). - [Shod:37].

Jin dan syaitan ini tunduk kepada Nabi Sulaiman AS  untuk melakukan sebarang kerja termasuk membuat bangunan.

Bayangkanlah bagaimana jin yang gagah dan kuat itu mendirikan bangunan?

Di antara jin ini ada yang ditugaskan untuk menyelam ke dasar laut untuk mengeluarkan mutiara.

Mempercayai bomoh adalah bertentangan dengan Islam kerana terdapat pengamal perubatan itu menggunakan jin sebagai perantara. Gambar dari filem Dukun.

Allah berfirman ertinya: “Dan (kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. Golongan jin itu membuat untuk nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan  yang tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya.” - [Saba’:12-13].

Maksudnya Nabi Sulaiman AS menggunakan jin untuk membangunkan masjid-masjid, mihrab-mihrab, patung-patung yang mana pada waktu itu tidak diharamkan oleh Allah dan bukan bertujuan untuk penyembahan, bejana, pinggan mangkuk yang besar, periuk.

Nabi Sulaiman AS pada zamannya telah membina suatu bangunan penjara untuk memenjarakan jin yang ingkar perintahnya.

Kalau kita melawat ke Masjid al-Aqsa kita akan ditunjukkan bangunan penjara di mana jin yang ingkar dipenjara oleh Nabi Sulaiman AS dan bangunannya masih kekal seperti gambar di bawah.

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa nabi Sulaiman AS tidak menggunakan jin untuk tujuan khurafat, tetapi untuk menegakkan agama Allah dan membuat kebajikan.

Justeru, kita sebagai umat manusia dijadikan Allah lebih hebat daripada jin kerana golongan itu asalnya mengikut telunjuk manusia dengan izin Allah.

USTAZ SHAMS

Allah melarang manusia menggunakan jin seperti dalam firmannya bermaksud: “Dan bahawa sesunguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” - [al-Jin:6].

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dihimpunkan bagi nabi Sulaiman bala tenteranya dari jin dan manusia serta burung, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. - [al-Naml:17].

Dalam satu kisah, ketika nabi Sulaiman AS berdakwah menyebarkan agama Allah baginda menginginkan istana Ratu Balqis dibawa dan diangkat seperti firman Allah: “Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya [Ratu Balqis] sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” - [al-Naml:38].

Menjadikan Al-Quran sebagai amalan adalah kaedah terbaik untuk mengelak daripada gangguan jin.

“Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.” - [al-Naml:40].

Kerana nabi Sulaiman AS kebiasaannya berada di tempat duduknya bersama manusia untuk memberi fatwa dari pagi hingga zuhur.

Beberapa bulan sebelum wafatnya Nabi Sulaiman AS, beliau memerintahkan jin untuk membina bangunan besar untuk Islam, maka jin pun membina bangunan itu dan nabi Sulaiman AS berdiri di beranda memerhatikan jin dengan bersandar pada tongkatnya untuk mengawasi jin membina bangunan.

Mereka takut jika nabi Sulaiman AS memenjarakan mereka, lalu mereka terus bekerja dengan tekun. Allah takdirkan Nabi Sulaiman AS wafat dalam keadaan berdiri dan sesiapa yang melihatnya tidak pernah menyangka bahawa baginda telah wafat.

Jin terus meneruskan melakukan kerja dan merasa takjub melihat Nabi Sulaiman AS kerana sudah berminggu-minggu tak makan-minum dan tidak tidur dan terus berdiri mengawasi jin sehingga siap bangunan tersebut.

Allah berfirman ertinya: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada  yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.” - [al-Naml:38].

Justeru, kita sebagai umat manusia dijadikan Allah lebih hebat daripada jin kerana golongan itu asalnya mengikut telunjuk manusia dengan izin Allah.

Ketika ini ada umat Islam yang percaya terhadap kekuatan jin terutama dalam amalan melakukan kaedah perubatan tradisional dengan cara tidak betul dan juga ilmu hitam yang seterusnya akan membawa syirik kepada Allah. Mohon dijauhkan!

Sila kongsikan artikel ini semoga menjadi sebahagian amalan jariah kita. Sebarang persoalan boleh diemailkan ke [email protected]. Wallahua’lam.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

Jin, Iblis, Islam

Artikel Lain