suria

Penjaga Gol England Mahu Tinggalkan United

PENJAGA GOL Manchester United dan England, Ben Foster memberi indikasi yang dia terpaksa akur dengan hakikat bahawa dia perlu meninggalkan Old Trafford demi untuk masa depan kariernya.

Foster memulakan kempen musim 2009/10 dengan harapan yang tinggi untuk menjadi penganti kepada Edwin van der Sar selepas pengurusnya, Sir Alex Ferguson sendiri memberi kenyataan bahawa dia bakal disenaraikan dalam skuad Piala Dunia England.

Tetapi malang, pemain berusia 27 tahun itu telah melakukan dua kesilapan besar ketika diberikan mandat mengambil alih tugas van der Sar dalam perlawanan menentang Manchester City kemudian diikuti perlawanan menentang Sunderland. Sejak kedua-dua insiden ini, nasibnya terus berubah.

Walaupun Pengurus England, Fabio Capello masih memberi kepercayaan kepadanya untuk bermain dalam dua perlawanan berturut-turut iaitu menentang Belarus dan Brazil, Foster secara hakikatnya telah kembali menjadi pilihan ketiga di United.

Dan lebih malang, Isnin lalu, Foster hanya diturunkan dalam skuad simpanan United menentang Aston Villa.

"Tidak ada siapa yang ingin meninggalkan Manchester United," katanya ketika ditemuramah oleh Manchester Evening News. "Tetapi jika anda meninggalkan kelab ini anda seperti menjunam dalam karier tetapi saya ingin terus bermain dan saya nampaknya terpaksa membuat pilihan sekiranya kelab ini mahu menjual saya," ujarnya.

Walaupun Ferguson masih memberikan harapan yang Foster akan tetap menjadi sebahagian daripada perancangan utamanya musim depan tetapi jika dia terus berada dalam kedudukan pilihan ketiga ada kemungkinan Foster akan menerima tawaran untuk berpindah secara pinjaman ke Birmingham jika kelab itu gagal mendapatkan Joe Hart dari Manchester City.

Foster sebenarnya pasrah yang tempatnya dalam skuad England akan diambil oleh Hart memandangkan Capello masih menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas David James dan Robert Green.

"Hakikatnya saya perlu bermain dalam kesebelasan utama sepertimana Joe Hart dan Robert Green bermain setiap minggu," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain