BSN Jangka Tambah Pendeposit SSP

Diterbitkan: Sabtu, 29 Julai 2017 5:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menjangka dapat menambah jumlah pendeposit sijil simpanan premium (SSP) pada separuh kedua 2017 berikutan ekonomi yang lebih baik, kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Perniagaan Runcit dan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah.

“Pada separuh pertama 2017, pendeposit kami meningkat kepada 2.8 juta bernilai RM3.26 bilion, berbanding 2.62 juta penyimpan bernilai RM3.02 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama setahun lalu.

“Kami berharap untuk mendapat lebih ramai pendeposit pada separuh kedua, terutama ketika setiap orang mula menyimpan selepas bulan puasa dan Aidilfitri.

“Malah sejak beberapa tahun lalu kami melihat jumlah pendeposit untuk produk ini meningkat dan berikutan itu, BSN telah memperkenal kategori baharu khusus bagi menggalak golongan belia berumur 12 hingga 17 tahun untuk mula menyimpan untuk masa depan mereka,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengumumkan pemenang bulanan cabutan “12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” yang bertujuan menyemai amalan menyimpan dalam kalangan pelanggan.

Penyimpan yang mempunyai minimum RM10 dan ke atas lebih daripada sehari berpeluang memenangi kereta mewah serta hadiah lain melalui cabutan bulanan tersebut.

Mearia berkata, BSN mempunyai beberapa produk simpanan bagi seperti Giro, deposit berjangka (konvensional dan Islam) serta SSP.

“Kami mahu wujudkan kepelbagaian kepada pelanggan yang menyimpan duit mereka dengan kami untuk pelbagai tujuan. Di samping beberapa produk simpanan baharu, bahagian pembangunan produk BSN sedang berusaha untuk menambah baik produk semasa kepada pelanggan," katanya.

BSN berkata, keseluruhan hadiah SSP yang ditawarkan tahun ini bernilai RM17.7 juta.

Ciri-ciri utama khusus SSP BSN termasuk patuh syariah, hadiah dikecualikan cukai dan terdapat pelbagai saluran untuk menyimpan seperti melalui cawangan, ATM CDM, ejen bank, perbankan Internet MyBSN serta SMS.-- Bernama  

Tags / Kata Kunci: BSN , SSP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan