suria

Ekonomi Malaysia 2016 Berkembang 6.3 Peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia meningkat pada 2016 apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa terus berkembang dengan mencatatkan nilai sebanyak RM1,230.1 bilion dan meningkat 6.3 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pengembangan KDNK itu didorong oleh peningkatan prestasi semua komponen pendapatan diterajui oleh Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang mencatatkan RM732.3 bilion.

Pampasan Pekerja (PP) mencapai nilai RM433.7 bilion. Cukai tolak Subsidi ke atas Pengeluaran dan Import kukuh pada RM64.2 bilion.

Sumbangan PP kepada ekonomi Malaysia berkembang kepada 35.3 peratus dan meningkat kepada  7.7 peratus (2015: 6.2 peratus) yang mana sebahagian besar didorong oleh perkhidmatan dan pembuatan.

Cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import telah membentuk 5.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan dan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.5 peratus (2015: 71.1 peratus).

Perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah PP dengan sumbangan 60.7 peratus diikuti pembuatan yang berjumlah 22.8 peratus pada 2016.

Pembinaan berkembang kepada 10.1 peratus berbanding 9.9 peratus pada tahun sebelumnya.  Selain itu, pertanian, perlombongan dan pengkuarian masing-masing mencatatkan sumbangan 4.7 peratus dan 1.7 peratus.

PP berkembang kepada 7.7 peratus, sebahagian besarnya dipacu oleh perkhidmatan yang mengukuh kepada 7.7 peratus.

Momentum perkhidmatan lain (termasuk perkhidmatan kerajaan)  yang meningkat kepada 6.5 peratus menerajui perkhidmatan.

Prestasi PP bagi pembuatan merekodkan 6.2 peratus, disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal dengan mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus.

Pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi enam tahun berturut-turut dengan mencatatkan 10.1 peratus pada 2016.

Pertanian pulih kepada 9.9 peratus daripada negatif 0.2 peratus tahun lepas disebabkan oleh pemulihan dalam semua segmen.

Selain itu, perlombongan dan pengkuarian melonjak kepada 5.7 peratus berbanding 0.8 peratus pada tahun sebelumnya.  Sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi, perkhidmatan  menyumbang 52 peratus kepada jumlah LKK pada 2016 diikuti oleh pembuatan pada 22.1 peratus.

Perlombongan, pengkuarian dan pertanian masing-masing menyumbang 13.1 peratus dan 11.1 peratus. Sementara itu, pembinaan mencatatkan sumbangan 1.7 peratus.

Memandangkan LKK menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK, pertumbuhan komponen ini adalah selari dengan prestasi ekonomi.

Pada 2016, LKK berkembang kepada 4.8 peratus berbanding 0.6 peratus pada tahun sebelumnya.  Perkhidmatan mengukuh kepada 6.3 peratus didorong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.  Pertanian pulih kepada 8.9 peratus berikutan pertumbuhan positif dalam semua segman.

Momentum LKK dalam pembuatan meningkat 2.8 peratus disokong sebahagian besarnya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal yang tumbuh pada 9.1 peratus.

Selain itu, perlombongan dan pengkuarian pulih kepada 0.4 peratus, manakala pembinaan mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus disokong oleh prestasi kejuruteraan awam dan aktiviti kediaman.– Bernama

KDNK

Artikel Lain