suria

Lima Syarikat Malaysia Tersenarai Dalam 'Best Under A Billion' Forbes

KUALA LUMPUR: Lima syarikat Malaysia iaitu Elsoft Research Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd, My E.G. Services Bhd, Pentamaster Corp Bhd dan Vitrox Corp Bhd, telah tersenarai di bawah “Best Under A Billion” Forbes 2017.

Senarai tahunan itu mengetengahkan 200 syarikat awam di Asia Pasifik dengan pendapatan kurang daripada US$1 bilion dan mempunyai pertumbuhan hasil kadar serta keuntungan yang konsisten.

Forbes melalui laman webnya, menyatakan calon-calon tahun ini datang dari 13 buah negara serta merekodkan purata pertumbuhan 55 peratus dalam jualan, 24 peratus dalam margin keuntungan dan 113 peratus pertumbuhan dalam pendapatan sesaham.

Daripada senarai itu, terdapat 70 perusahaan kecil dan sederhana yang menjana pendapatan semata-mata dari rantau ini.

Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat produk dan perkhidmatan pengguna menunjukkan peningkatan dalam senarai, ini adalah tanda-tanda kejayaan Asia dalam bergerak ke arah sebuah ekonomi pengguna.

Tiga syarikat berkenaan berpangkalan di Pulau Pinang, iaitu Elsoft Research, Pentamaster dan Vitrox.

Elsoft Research terlibat dalam penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan sistem ujian gelapan termasuk sistem aplikasi spesifik.

Pentamaster terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan dan menawarkan penyelesaian automasi pengeluaran dan perkhidmatan, manakala, Vitrox membuat sistem pemeriksaan pengimbasan garisan dan tiga dimensi.

Sementara itu, Kerjaya Prospek beroperasi sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dan terlibat dalam perniagaan pembinaan bangunan, hiasan dalaman dan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan pembinaan.

My E.G. pula menawarkan perkhidmatan yang membabitkan pembangunan serta pelaksanaan khidmat kerajaan elektronik serta perkhidmatan yang berkaitan dengan peruntukan.-- Bernama 

Forbes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain