suria

Concur Perkasa AirAsia Untuk Melonjak Ke Puncak Baharu

KUALA LUMPUR: Concur Technologies Inc (Concur), anak syarikat perbadanan perisian multinasional Jerman telah bekerjasama dengan AirAsia untuk melaksanakan penyelesaian perjalanan dan perbelanjaan bersepadu untuk anak syarikat penerbangan itu, AirAsia Global Shared Services.

Dalam satu kenyataan, SAP berkata, penyelesaian itu menawarkan perkhidmatan penyumberan luar proses perniagaan kepada 17,000 kakitangan AirAsia Group dan dijangka selesai awal Julai depan.

Menurutnya, penyelesaian daripada Concur disediakan dengan modul konfigurasi audit dasar, elaun perjalanan dan cukai tambah nilai pada awan untuk AirAsia Global Shared Services.

Ia bertujuan mengurangkan kesan pengurusan perjalanan dan perbelanjaan ke atas semua kakitangan AirAsia Group, terutama untuk kakitangan AirAsia Global Shared Service dan kewangan.

"Keupayaan ini untuk meningkatkan kelulusan perjalanan, membuat dan membayar perbelanjaan hotel dan tuntutan melalui applikasi tunggal, adalah satu revolusi daripada proses manual semasa kami yang ketinggalan zaman.

"Tambahan pada masa depan untuk tempahan penerbangan bagi kekitangan akan melengkapkan rantaian nilai, mencerminkan peluang kerjasama inovatif apabila pelbgai faedah boleh diperoleh semua pelanggan Concur," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Global Shared Services, Naresh Alagan.

Beliau berkata, manfaat utama penyelesaian itu akan memperkemas dan menyingkatkan proses perbelanjaan perjalanan AirAsia.

"Kami gembira dapat menawarkan Air Asia Global Shared Services penyelesaian pengurusan dan perkhidmatan perjalanan dan perbelanjaan bersepadu terbaik," kata Pengarah Urusan Concur Asia Tenggara, Madanjit Singh.

Sementara itu, Pengarah Urusan SAP Malaysia, Terrence Yong berkata, penyelesaian awan daripada Concur membolehkan syarikat penerbangan tempatan memenuhi beberapa objektif utama seperti pengurangan kos, kepuasan kakitangan serta akses lebih mudah kepada perjalanan bertugas.

"Pasaran penerbangan di sini kini menghadapi saingan sengit daripada syarikat penerbangan antarabangsa dan tekanan daripada peraturan penerbangan untuk integrasi dan kecekapan lebih tinggi," tambahnya.

Artikel Lain