suria

Bingit! Bapa ‘ganti’ suaranya dengan loceng asrama kejut anak bangun Subuh - “Telefon atas katil pun tercampak ke bawah”

Fadhli berkongsi kisah mengenai loceng yang dipasang di dalam rumahnya untuk kemudahan keluarganya bangun pagi untuk solat Subuh. Foto ihsan Fadhli Muttaqim Muhd Saupi

LIAT bangun pagi menjadi lumrah bagi sebahagian anak muda, maka pelbagai teknik digunakan untuk memastikan mereka lebih berdisiplin.

Jika jam penggera menerusi telefon bimbit berbunyi tidak menjadi dan butang snooze ditekan berkali-kali, maka terlepaslah waktu solat Subuh.

Kepulangan seorang pemuda untuk bercuti di kampung halaman ternyata menerima kejutan yang tidak sangka-sangka iaitu loceng yang dipasang di dalam rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna teknik ‘pulas’ kejut pelajar liat bangun pagi, cikgu penyayang dedah hari ‘malang’... koridor asrama tiba-tiba sunyi

ARTIKEL BERKAITAN: Guru terpaksa cempung murid masuk sekolah... ingatkan takut periksa gigi, rupa-rupanya ‘Monday Blues’!

“Inovasi baharu ayah aku kejut anak bangun Subuh. Loceng sekolah dalam rumah terus, sekali tekan satu rumah bangun,” menurut posting seorang pemuda yang tular.

Perkongsian Fadhli mengenai loceng sekolah yang dipasang dalam rumahnya.

Pemuda berkenaan, Fadhli Muttaqim Muhd Saupi, 22, berkata, loceng tersebut baru dipasang di rumahnya di Kampung Losong di Kuala Terengganu, Terengganu, yang terletak kira-kira 50 meter dari sebuah sekolah tahfiz.

Jelasnya, loceng yang dipasang itu merupakan jenis loceng yang sama digunakan oleh sekolah tersebut dan kedua-duanya dipasang pada hari yang sama.

“Mula-mula juruteknik pasang loceng kat sekolah tu, tapi ayah yang bertugas menguruskan pusat itu kemudian minta ia turut dipasang di rumah kami.

“Bukan di luar rumah ya, tapi dalam rumah dekat ruang tamu. Semuanya gara-gara saya ni memang susah nak bangun Subuh, jadi ayah pasang loceng tu bukan saja nak kejutkan saya seorang tapi satu keluarga,” katanya kepada mStar.

Sekolah tahfiz yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah Fadhli.

Fadhli bagaimanapun berkata, kedua-dua loceng di rumahnya dan sekolah tahfiz akan berbunyi pada waktu yang berbeza.

“Loceng di sekolah sudah set timer akan berbunyi pukul 5 pagi setiap hari, dan loceng di rumah pula dibunyikan secara manual oleh ayah sekurang-kurangnya lima minit sebelum azan Subuh berkumandang.

“Walaupun ayah garang, dia tak pernah meninggikan suara kat anak-anak dia. Jadi ayah selalu ketuk pintu bilik tidur saya berkali-kali sampai saya bangun. Tapi sekarang bunyi loceng saja saya dah boleh bangun,” katanya.

Walaupun ayah garang, dia tak pernah meninggikan suara kat anak-anak dia. Jadi ayah selalu ketuk pintu bilik tidur saya berkali-kali sampai saya bangun. 

FADHLI

Walaupun loceng dibunyikan, anak keempat daripada enam adik-beradik itu menjelaskan ia tidak menganggu jiran-jiran kerana jarak rumah masing-masing yang berjauhan.

“Tapi sebab manual selagi tak tutup selagi itulah loceng tu berbunyi. Nak tak nak semua memang kena bangun sebab bunyi bingit.

“Memang berkesan pendekatan yang digunakan ayah ni. Mula-mula memang terkejut sampai telefon atas katil pun saya tercampak ke bawah,” katanya secara berseloroh.

Ayah Fadhli (tiga, kiri) bertugas menguruskan sekolah tahfiz.

Fadhli yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam itu turut berkongsi kisah mengenai loceng tersebut menjadi bahan gurauan adik bongsunya yang berusia 13 tahun.

“Dia ni memang nakal. Bila waktu malam, orang lain dah tutup lampu untuk tidur dalam bilik masing-masing... dia pergi main-main petik suis.

“Jadi berbunyilah loceng bingit satu rumah. Pernah sekali tu, saya baru terlelap ingatkan dah waktu Subuh tertanya-tanya kenapa macam sekejap je tidur, rupa-rupanya baru tengah malam,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain