suria

“Pernah kutip tahi ayam dapat upah 50 sen seguni” - 16 anak pak imam walau sekadar makan nasi campur garam, semua bergelar graduan

Mohd Yazid bersama 15 adik beradiknya suatu ketika dahulu pernah menempuh waktu sukar, namun kini semuanya berjaya dalam bidang masing-masing.

“KAMI pernah jamah nasi campur air, garam dan sedikit gula,” demikian perkongsian seorang lelaki yang menceritakan keperitan hidupnya yang membesar bersama 15 adik beradik lain suatu ketika dahulu.

Berkongsi cerita bersama mStar, Mohd Yazid Ismail yang merupakan anak ke-11 daripada 16 beradik seibu sebapa itu berkata, sejak kecil lagi dia dan adik beradiknya bekerja bagi membantu kedua orang tua mereka.

“Ayah pada ketika itu imam di sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan yang mendapat elaun sebanyak RM400 sebulan. Dengan duit itulah dia membesarkan anak-anak. Pada masa sama, kebetulan ayah ada memajak tanah, jadi di tanah tersebut ayah dan mak tanam pelbagai jenis sayur-sayuran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada zuriat bukan alasan kahwin lain! Hampir 20 tahun baru dapat anak, tapi layanan tetap sama - “Sampai meninggal ayah tak tahu saya dah tahu”

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung” 

“Abang-abang akan keliling kampung menjual hasil tanaman kami untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Hasil kebun sayur juga dihantar ke pasar. Dengan pendapatan yang tidak seberapa itulah, mak dan ayah membesarkan kesemua anak-anak mereka,” katanya yang kini berusia 35 tahun.

Menurut Mohd Yazid, daripada 16 adik beradiknya itu, 11 adalah lelaki dan lima lagi perempuan.

Adik beradik Mohd Yazid bergambar bersama ibu mereka, Fatimah Jusoh.

Cerita Mohd Yazid, kesusahan keluarga mereka makin berganda apabila ayah kesayangan, Ismail Abdullah diserang strok ketika berada di masjid, hingga mengakibatkan lumpuh separuh badan.

Ketika itu ibunya, Fatimah Jusoh yang kini berusia 69, sedang mengandungkan adik bongsunya.

“Kejadian itu berlaku pada 1991, ketika itu saya baru Darjah 2. Dengan keadaan ayah yang lumpuh, dia hanya terlantar. Bermakna hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup cukup-cukup makan saja. Alhamdulillah pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan RM150.

“Dengan wang itu, berserta meniaga sayur, mak besarkan kami dan dalam masa yang sama uruskan ayah. Tak pernah mak merungut. Walaupun serba kesempitan, Allah kurniakan rezeki yang cukup.

“Allah bagi rezeki kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih di sekolah rendah, kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain. Saya sendiri pernah bekerja mengutip tahi ayam di sebuah perusahaan penternakan ayam dengan upah 50 sen seguni,” ujarnya.

Mohd Yazid yang merupakan anak ke-11 kini bekerja sebagai pengurus agensi di syarikat pengurusan kewangan dan pelaburan. 

Tambah Mohd Yazid, ketika itu hanya abang sulungnya sahaja yang sudah bekerja manakala adik beradik lain masih lagi belajar.

“Alhamdulillah, abang sulung ketika itu bekerja sebagai pegawai askar, manakala abang-abang yang lain pula dapat biasiswa. Malah, dengan duit biasiswa itu mereka hulur pada mak untuk tampung perbelanjaan persekolahan adik-adik. Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.

“Sungguhpun serba kekurangan, mak tidak akan berhutang. Kami masih menggunakan dapur api kayu untuk memasak sehingga 2001 bagi untuk berjimat,” katanya yang kini bekerja sebagai pengurus agensi di syarikat pengurusan kewangan dan pelaburan.

Menurut Mohd Yazid, ditakdirkan ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 2000 selepas lapan tahun terlantar akibat strok.

Perkongsian Mohd Yazid mengenai kisah keluarganya meraih sehingga melebihi 3,000 shares.

“Ayah memang seorang yang sangat tegas. Semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak, tapi ayah selalu tanya tentang solat di masjid atau tak. Arwah ayah memang menekankan pendidikan agama.

“Dan sebab itulah, walaupun kami ramai tetapi tidak pernah bersengketa apatah lagi berebut harta pusaka. Kalau salah faham, itu memang biasa cuma tidak pernah ke tahap bermasam muka,” ceritanya.

Hasil didikan kedua orang tuanya, menurut Mohd Yazid, kesemua adik beradiknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Allah bagi rezeki kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih di sekolah rendah, kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain. Saya sendiri pernah bekerja mengutip tahi ayam di sebuah perusahaan penternakan ayam dengan upah 50 sen seguni.

MOHD YAZID ISMAIL

“Seramai 16 semuanya dan tujuh berkhidmat sebagai pendidik, manakala yang lain ada yang berniaga, seorang abang bergelar hakim di Mahkamah Shah Alam, dan ada yang menjadi penceramah motivasi.

“Kini keluarga kami bertambah besar dengan kehadiran 63 cucu. Apabila balik beraya di Kota Bharu, memang kereta tak muat nak parking di halaman rumah,” ujarnya ketawa kecil.

Ditanya apa resepi bahagia keluarga besarnya, kata Mohd Yazid, segala-galanya bertitik tolak daripada hasil didikan kedua orang tuanya yang amat menekankan soal agama.

“Untuk hidup aman dan bahagia, kena terapkan pendidikan agama dan dari situ akan terjaga akhlak. Kalau diikutkan, arwah ayah ada meninggalkan tanah pusaka, tapi kami adik beradik memilih untuk bertolak ansur.

“Tanah diberikan sebahagian kepada mana-mana di antara kami yang lebih memerlukan, manakala sebahagian yang lain diberi kepada mak. Sikap bertolak ansur ini memudahkan urusan pembahagian harta. Sikap tamak tidak akan membawa kita ke mana-mana,” ujarnya mengakhiri bicara.   

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain