suria

Guru nafi murid 6 tahun acah anjing, kesan gigitan dalam sampai kena bedah! - “Sambil menangis dia berdoa... ampunkan dosa mak ayah aku”

Adib mengalami kecederaan di tengkuk, telinga, lengan, ketiak dan celah paha akibat digigit anjing liar pada petang Jumaat lalu.

KISAH seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera digigit anjing liar yang videonya tular di media sosial sejak Sabtu cukup meruntun hati netizen.

Namun timbul pelbagai spekulasi berkaitan insiden itu sehingga mendapat perhatian seorang guru di sekolah terbabit.

Norzuliana Zakaria yang juga guru di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan tampil menjelaskan situasi sebenar menimpa Mohd Adib Asyraf atau Adib.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak montel meraung ‘penculik’ mahu jadikannya hidangan asam pedas, tingkah laku selepas kejadian mengejutkan ibu bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Berpantang maut sebelum ajal... budak 4 tahun jatuh dari tingkat 2 tak patah tulang, “Adik kata nak tidur dulu, saya takut dia tutup mata”

Menurut guru berusia 35 tahun itu, dakwaan bahawa Mohd Adib mengacah-acah anjing tersebut sebelum dia digigit tidak benar sama sekali.

"Saya geram bila ramai kata budak tu dok acah-acah anjing tu. Dia tak buat. Bagi saya komen tu tak adil, sebab tu saya post video rakaman CCTV sekolah kami.

"Budak enam tahun nak acah apa... lagipun waktu tu dia sorang-sorang. Kalau tengok video tu Adib tu duduk elok je, anjing tu yang kejar dia," katanya kepada mStar.


Rakaman CCTV menunjukkan Adib sedang duduk sebelum dikejar anjing liar di sekolahnya.

Jelas Norzuliana lagi, sewaktu kejadian Adib tiba awal di sekolah tetapi kelas berkunci.

"Kalau tengok CCTV dia sampai dalam pukul 2.10 petang. Dia tunggu depan kelas dan waktu tu memang semua kelas berkunci sebenarnya. Jadi dia memang tak masuk dalam kelas.

"Pintu bilik kelas berkunci sebab tak nak anjing-anjing liar itu masuk. Laluan seperti dalam video tu memang laluan haiwan tu. Kadang tu tengah mengajar nampaklah anjing-anjing lalu," katanya.

Tapi sambil dia menangis tu dia berdoa. Dia kata 'Ya Allah ampunkan dosa mak ayah aku, ampunkan dosa abang aku'. Dia memang budak yang baik.

NORZULIANA ZAKARIA.

Guru.

Malah guru berasal dari Kelantan itu turut mendedahkan dia nyaris diserang anjing liar yang sama dua minggu lalu.

"Saya sendiri pun pernah kena kejar. Waktu tu nak balik sekolah. Nasib baik kunci kereta dah ada di tangan. Huh takut... kalau tak, tak tahulah apa jadi.

"Murid lain pun ada yang pernah kena kejar tapi mereka sempat melarikan diri dan masuk ke dalam kelas. Boleh kata sekolah tu tempat tidur anjing-anjing liar tu.

Adib masih memerlukan pemantauan doktor di hospital kerana kesan gigitan agak dalam.

"Kalau saya lalu kawasan sekolah waktu malam, memang penuh anjing. Nampaklah dalam tujuh lapan ekor sebab biasanya waktu malam lampu sekolah akan dipasang," katanya.

Bercerita lanjut mengenai keadaan Adib, Norzuliana berkata kanak-kanak itu baru selesai menjalani pembedahan malam Jumaat dan masih dalam pemantauan doktor.

"Dia mengalami luka yang agak teruk di bahagian tengkuk, telinga, lengan, ketiak dan celah paha. Doktor beritahu kesan gigitan agak dalam.

"Waktu saya melawat dia Jumaat tempoh hari, dia baru lepas X-Ray tapi darah still meleleh je. Kesian tengok keadaan dia. Malam tu dalam pukul 10 pembedahan dilakukan.

"Dia sedar pukul 9.30 pagi Sabtu dan boleh makan serta ajak sembang. Tapi dia masih lagi dalam pemantauan doktor sebab takut kesan gigitan ada virus," katanya.

Malah Norzuliana turut berkongsi momen sedih Adib sewaktu menerima rawatan di Hospital Port Dickson pada petang Jumaat.

Cikgu Norzuliana turut memberi penjelasan di Facebooknya berkaitan insiden itu.

"Bila saya sampai hospital guard cerita gelagat Adib. Guard beritahu waktu sampai je bahagian kecemasan Adib menangis. Adib kata kat doktor 'doktor cepatlah cuci luka saya ni'.

"Tapi sambil dia menangis tu dia berdoa. Dia kata 'Ya Allah ampunkan dosa mak ayah aku, ampunkan dosa abang aku'. Dia memang budak yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Norzuliana berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berwajib mengambil tindakan segera ke atas anjing-anjing liar itu.

"Kalau boleh pihak berwajib buatlah apa-apa yang patut dengan segera sebab ia melibatkan kanak-kanak dan orang awam. Tangkaplah anjing-anjing liar tu.

"Saya tak nak insiden sama berlaku dekat orang lain. Memandangkan ini kes pertama ambillah tindakan segera. Jangan sampai berlaku kes kedua pula barulah nak bertindak," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain