suria

Menara City One lokasi ke-3 PKPD, libatkan 502 unit kondo dan premis perniagaan

Menara City One di Jalan Munshi Abdullah. Foto iproperty.com

MENARA City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, menjadi lokasi ketiga perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 31 Mac hingga 13 April, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di bangunan itu.

Dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, merupakan dua lokasi yang dikenakan PKPD sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 di Menara City One.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula tengah malam ini, arahan PKPD berkuatkuasa di Hulu Langat libatkan hampir 4,000 penduduk

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: 3,570 penduduk Kluang diarah ‘berkurung’ 14 hari, JKM bekalkan makanan asas

"Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order).

"Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 31 Mac 2020 hingga 13 April 2020," katanya dalam satu kenyataan, petang Isnin.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar. 

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari," tambahnya.

Dengan pelaksanaan perintah ini:

· Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

· Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

· Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut.

· Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

· Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD. 

· Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

· Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141.

Artikel Lain