Kebanyakan Mangsa Bot Karam Dijangka Pulang Ke China, Jumaat - Semasa | mStar

IKLAN

IKLAN

Kebanyakan Mangsa Bot Karam Dijangka Pulang Ke China, Jumaat

KOTA KINABALU: Kebanyakan pelancong dari China yang terselamat selepas bot pelancong jenis Catamaran yang mereka naiki karam pada 28 Januari lalu dijangka pulang ke negara mereka pada Jumaat.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming berkata, hanya 13 daripada mereka masih berada di Sabah, manakala tujuh yang lain telah pulang pada Selasa.

Beliau berkata seorang atau dua daripada mereka mungkin akan berada di sini lebih lama untuk menyelesaikan beberapa perkara dengan ejen pelancongan mereka dengan segera.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata siasatan terhadap kejadian itu telah selesai dan keterangan telah diambil daripada semua 20 pelancong dari China serta saksi-saksi yang terlibat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Abdul Rahim Ramli berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang masih hilang menemui satu jaket keselamatan di perairan Brunei dalam operasi yang masuk hari ke-11, Selasa.

Abdul Rahim berkata objek itu dikesan oleh kapal Kapal Diraja Brunei (KDB) Darulaman pada pukul 3.20 petang di 80 batu nautika barat dari perairan Pulau Mengalum.

"Jaket keselamatan itu tertera tulisan tangan SJN 00658 dan berwarna oren.
 Bagaimanapun kita belum dapat memastikan sama ada objek itu mempunyai kaitan dengan kejadian bot karam itu.

"Jaket keselamatan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata berikutan penemuan itu, setakat ini anggota SAR telah menemui empat jaket keselamatan sejak operasi itu dilaksanakan.

Abdul Rahim berkata operasi SAR yang masuk hari ke-12 hari ini memberi tumpuan kepada keluasan kawasan 1,475 batu nautika persegi di perairan Kota Kinabalu.

Katanya, berikutan penemuan objek itu semalam pihaknya telah memperluaskan kawasan pencarian berbanding hanya 1,375 batu nautika, Selasa.
bot karam , pelancong Cina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kit Siang Diminta Hormat Wartawan

IKLAN

IKLAN

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Rafizi luah kecewa pada siapa?

Hadiah Krismas 'Jho Low' melucukan