suria

Gas Bocor Di Makmal Hospital Teluk Intan

TELUK INTAN: Lebih 50 kakitangan makmal Hospital Teluk Intan kelam kabut menyelamatkan diri apabila terhidu bau gas dalam insiden yang berlaku, Rabu.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, kesemua kakitangan bergegas keluar mengosongkan bangunan berkenaan bagi mengelak daripada sebarang kemungkinan buruk berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Zulkifli Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera dikerah ke hospital berkenaan sebaik menerima panggilan pada kira-kira 10.40 pagi.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, kawasan sekitar bangunan makmal itu ditutup sementara kepada orang ramai ketika anggotanya melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan menyeluruh mendapati terdapat kebocoran gas LPG melalui saluran paip di makmal patologi dan kita telah menutup saluran gas berkenaan buat sementara serta membuat pengudaraan secara mekanikal untuk mengeluarkan gas yang terperangkap.

"Kami mengambil masa satu jam untuk pulihkan keadaan, operasi kemudiannya dihentikan apabila keadaan terkawal sepenuhnya," katanya.
Hospital Teluk Intan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain