suria

Dasar Penjagaan Paliatif Pediatrik Kebangsaan Dilancarkan

KUALA LUMPUR: Dasar Penjagaan Paliatif Pediatrik Kebangsaan dilancarkan hari ini dengan rancangan untuk membangunkan perkhidmatan tersebut di 50 buah hospital kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai melancarkan dasar itu di Hospis Malaysia di sini yang turut disaksikan oleh penaung diraja inisiatif itu, isteri Sultan Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan pasangan diraja Duke dan Duchess of Cambrigdge, Putera William dan isterinya Catherine, yang kini melakukan lawatan ke negara ini.

Dalam ucapannya, Liow berkata penubuhan kemudahan khusus itu serta pembentukan Pasukan Penjagaan Paliatif Pediatrik (PPCT) di hospital kerajaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Buat masa ini, katanya, kementerian mendapatkan pelbagai sumber yang diperlukan untuk membangunkan kemudahan penjagaan paliatif pediatrik.

Liow berkata pakar pediatrik dicadangkan untuk menerajui PPCT dan disokong pasukan penjagaan kesihatan yang terdiri daripada pakar pelbagai disiplin.

"Peranan mereka adalah untuk menyediakan penjagaan pesakit dalaman dan pesakit luar serta penjagaan harian dan penjagaan di rumah," katanya.

Liow berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Hospis Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menggalakkan latihan berterusan dalam bidang perubatan paliatif pediatrik.

Kementerian itu, katanya, telah memperuntukkan sejumlah RM30 juta bagi pembangunan bidang perubatan paliatif sebagai pengkhususan klinikal yang berbeza.

Ketika ini, sejumlah 14 unit penjagaan paliatif telah diwujudkan di hospital-hospital kerajaan.

Bagi pesakit terminal dan keluarga masing-masing, penjagaan paliatif adalah penting ekoran penjagaan kuratif tidak lagi sesuai untuk mereka.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk memberi ubat-ubatan kepada pesakit terminal bagi membantu mereka menangani kesakitan dan sokongan perkabungan bagi membolehkan keluarga pesakit terminal menerima hakikat bahawa mereka akan kehilangan orang kesayangan mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain