suria

Anak ambil patung mainan tepi pantai, balik rumah perkara pelik berlaku... Wanita ‘hijab’ terbuka selepas bersalin jadi penyalamat zuriat sendiri

Tindakan anak sulung Zulaikha mengutip sebuah patung ketika bermain di pantai telah mengundang padah.

SELEPAS melahirkan anak ketiganya, Zulaikha (bukan nama sebenar) mula menyedari perubahan yang berlaku kepada dirinya.

Dia bukan sahaja mudah berasa takut dan lemah semangat tetapi tiba-tiba mampu melihat perkara halus yang cukup menakutkan apatah lagi dengan keadaan dirinya yang, asih dalam pantang bersalin.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru tuisyen terpaksa lalu Highland Towers demi rezeki halal... Rasa seram beri petanda buruk munculnya lembaga berbalut putih

Pelbagai jenis rawatan telah dilakukan namun Zulaikha memberitahu dia masih nampak benda-benda halus sehingga lama kelamaan dia sudah terbiasa dan mampu mengawal perasaannya.

"Mula-mula memang rasa takut dan tak boleh terima hakikat... Sehingga kini saya buntu dengan apa yang berlaku kepada saya tapi lama kelamaan saya mula reda dan mampu mengawal perasaan setiap kali ada benda muncul di depan mata saya.



Zulaikha tidak menyedari anaknya mengutip sebuah patung ketika mereka bercuti di pantai.

"Kebetulan ada seorang pakcik yang saya temui ketika mendapatkan rawatan memberitahu apa yang berlaku kepada saya sebenarnya adalah satu anugerah yang mungkin mempunyai kebaikan.

"Dia minta saya banyak bersabar dan berdoa kepada Allah sekiranya 'hijab' saya masih terbuka dan sementara itu gunakannya untuk perkara kebaikan seperti membantu orang lain," ceritanya.

Semenjak itu kata Zulaikha, sudah pelbagai makhluk yang pernah dilihatnya - ada yang tidak ada kepala berdiri di depan rumah, benda berbungkus seperti pocong tidak mengira masa dan tempat.

Kutip anak patung di tepi pantai

Bagaimanapun katanya, baru-baru ini, dia baharu tersedar kelebihannya itu ada hikmahnya apabila dia dapat menyelamatkan nyawa anaknya sendiri.

Kisahnya kata Zulaikha bermula apabila mereka sekeluarga berkelah di tepi pantai dan anak sulungnya terjumpa sebuah anak patung dan membawanya pulang tanpa disedarinya.

Mula-mula memang rasa takut dan tak boleh terima hakikat... Sehingga kini saya buntu dengan apa yang berlaku kepada saya tapi lama kelamaan saya mula reda dan mampu mengawal perasaan setiap kali ada benda muncul di depan mata saya.

ZULAIKHA (BUKAN NAMA SEBENAR)

Ketika pulang, anak sulungnya terus menyimpan anak patung itu di dalam bekas mainan dan tanpa disedari ia telah mengundang musibah kepada mereka sekeluarga.

"Beberapa hari kemudian ketika saya sedang menonton televisyen saya terdengar anak saya duduk di depan pintu rumah sambil ketawa macam sedang bermain dengan seseorang.

"Pada awalnya saya buat tak kisah tetapi selepas beberapa minit saya dengar dia menangis dan ketika saya pergi menjenguknya, saya lihat ada seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan usia lima tahun berdiri di depan pintu.

"Dia memakai baju berbelang hitam dan putih, berskirt pendek... Meskipun hati saya tak sedap, saya mintanya pulang ke rumah kerana waktu itu pun sudah malam," ceritanya.

'Tuan' patung muncul depan pintu, minta kembali haknya

Sekitar pukul satu pagi kata Zulaikha, suaminya masih berjaga kerana menyelesaikan tugas pejabat sebelum pintu rumah mereka diketuk seseorang.

Namun yang peliknya, apabila dibuka tiada siapa di depan pintu dan suaminya menyangka rakannya sengaja mempermainkannya kerana dia sering bertandang ke rumah mereka walaupun sudah tengah malam.



Rupa-rupanya 'tuan' patung itu mengikut mereka pulang ke rumah.

"Apabila suami menutup pintu selepas melihat tiada siapa di luar, tiba-tiba dia terdengar suara seorang budak sedang menangis di dalam rumah.

"Suami yang berasa seram dengan suara itu, terus masuk ke bilik mengejut saya dari tidur kerana ingin meminta saya memeriksa sekiranya ada sesuatu tidak kena dalam rumah kami," jelasnya.

Zulaikha memberitahu dalam keadaan mamai iaitu antara sedar dan tidak, dia berasa terkejut apabila ternampak kanak-kanak yang bermain dengan anaknya tadi sedang berdiri di sebuah sudut bilik tidur mereka.

Namun katanya, kali ini jelmaan kanak-kanak itu dalam keadaan menakutkan dengan hidung dan bajunya berlumuran darah sambil menjerit meminta haknya dikembalikan.

"Saya tidak faham apa yang dia maksudkan apabila minta haknya dikembalikan dan apabila saya tanya, makhluk itu hanya menangis dan mengulang perkara yang sama sebelum ia menghilangkan diri begitu sahaja," katanya.

Malam itu dia tak dapat melelapkan mata memikirkan tentang hak yang dimaksudkan makhluk itu sehinggalah keesokan harinya, anak sulungnya itu menceritakan apa telah berlaku.

Anaknya itu tiba-tiba menangis ketika bermain di depan pintu selepas makhluk itu memarahinya mengambil patung miliknya ketika berada di pantai.

"Saya terkejut kerana tak tahu mengenai patung yang dia kutip itu. Saya terus membuang patung itu dan mujur tiada lagi gangguan daripada makhluk sama atau ia muncul di depan saya," ujarnya.

Justeru Zulaikha menasihat orang ramai agar tidak mudah untuk mengambil apa-apa barang yang ditemui di mana-mana tempat kerana bimbang ia merupakan hak orang lain.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain