“Ada hantu ikut” - Akhirnya Imej tangan muncul tepi tingkap, mulut cabul pemuda nak usik kawan bawa padah

Azim terkejut apabila ternampak kelibat tangan yang mengetuk tingkap bilik hotelnya. - Gambar Sekadar Hiasan

PERCUTIAN Azim bersama tiga rakannya ke sebuah pulau di utara tanah air bagi menenangkan fikiran selepas tiga bulan terperap di rumah berikutan penularan Covid-19 sepatutnya meninggalkan pengalaman menyeronokkan.

Hampir dua minggu mereka merancang percutian itu selain mengambil kira faktor keselamatan bagi mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, keseronokan yang diharapkan bertukar tragedi gara-gara sikap gemar cakap lepas Azim yang membawa padah.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara wanita mengilai dirakam CCTV, kelibat tanpa kepala usung keranda... Ini kisah 6 stesen kereta api terseram dunia

Cerita Azim, ketika tiba ke pulau peranginan itu, semua yang dirancang berjalan lancar sehinggalah mereka membuat keputusan untuk berbasikal di sekitar hotel tempat mereka menginap.

Katanya, kawasan hotel itu agak terpencil - dan mereka memilih menginap di situ kerana ia jauh daripada kesesakan orang ramai bagi mengurangkan kontak serta berasa lebih selamat.



Berjenaka ternampak makhluk halus ketika berbasikal membawa pada pada Azim. - Gambar Sekadar Hiasan

"Sejujurnya saya langsung tidak berasa takut atau merasakan kawasan itu 'keras' walaupun ia agak sepi... tapi saya selalu bergurau dengan rakan-rakan yang lain dan beritahu mereka tempat itu keras.

"Ketika berbasikal, waktu itu sudah menghampiri waktu senja dan keadaan pun sudah mula gelap tapi kami tetap berbasikal dan seperti biasa saya bergurau dengan rakan-rakan.

"Saya pecut basikal meninggalkan mereka dan beritahu secara bergurau ada hantu ikut mereka di belakang," ceritanya.

Akibat sikap dan mulut cabulnya itu, Azim memberitahu dia dimarahi oleh kawan-kawan dan memintanya tidak mempersendakan hal-hal sedemikian.

Tengkuk meremang, kelibat tangan ketuk tingkap

Tidak menghiraukan nasihat diberikan rakan-rakan, Azim memberitahu malam itu ketika hendak tidur bulu romanya tiba-tiba menegak seperti ada tangan yang menjalar di tengkuknya.

Dia cuba untuk tidak menghiraukan perkara itu kerana menyangka ia mungkin berlaku kerana suhu di dalam biliknya sejuk namun tengkuknya tetap meremang.

Azim mula tidak sedap hati dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan dia cuba mengadu kepada teman sebiliknya namun rakannya itu sudah pun tidur.

"Saya ambil keputusan untuk tidur kerana mula berasa tak sedap hati... Apabila saya tutup sahaja lampu bilik, tiba-tiba saya melihat cahaya di tingkap sebelum nampak tangan seseorang mengetuk tingkap.

"Saya menjerit ketakutan dan membuka kembali lampu. Saya cuba gerak rakan sebilik tetapi dia tidak bangun... Ketika itu saya ketakutan dan baring di sebelah rakan dan memeluknya," kata Azim.

Saya ambil keputusan untuk tidur kerana mula berasa tak sedap hati... Apabila saya tutup sahaja lampu bilik, tiba-tiba saya melihat cahaya sebelum nampak tangan seseorang mengetuk tingkap.

AZIM

Tidak terhenti di situ, Azim memberitahu dalam dia ketakutan itu, tingkap bilik tersebut sekali lagi diketuk dan dia terdengar suara menanggil namanya.

"Ia bukan sahaja panggil nama saya tetapi dalam sayup-sayup saya dengar dia cakap, kenapa kau panggil aku," ceritanya.

Makhluk halus ikut pulang ke rumah

Keesokan harinya, Azim memberitahu rakan sebiliknya terkejut apabila menjumpainya tertidur dalam bilik air dan dia sendiri tidak tahu bagaimana dia berada di situ.

"Seingat saya, saya melompat tidur memeluk rakan bilik saya dan entah bila saya terlelap atau berjalan ke bilik air... Saya langsung tiada memori mengenai perkara itu," tuturnya.

Azim memberitahu rakan-rakannya memberitahu wajahnya bertukar pucat dan sepanjang hari dia menjadi pendiam sehingga semua menjadi pelik dengan sikapnya.



Azim sentiasa berasa ada tangan yang menjalar di belakang tengkuk sehingga terasa meremang.

Paling menakutkan kata Azim, tengkuknya sentiasa berasa meremang selain badannya terasa sakit terutamanya pada bahagian pinggang.

Gangguan diterima Azim tidak berakhir kerana sejurus pulang ke ibu kota, dia menerima gangguan pada malam pertama dia pulang ke rumah.

"Saya tinggal sendirian... Mulanya saya tidak fikir apa-apa tetapi tiba sahaja di rumah saya rasa lemah dan ketakutan. Tengkuk saya sentiasa rasa meremang dan pinggang saya mula sakit.

"Saya berasa sedikit lega selepas mandi dan solat tetapi ketika hendak tidur gangguan mula berlaku... Tingkap bilik saya diketuk semahunya rasa seperti mahu pecah.

"Peliknya saya tinggal aras 10 dan bagaimana ada orang boleh panjat dan ketuk tingkap bilik saya?" jelasnya.

Sementara itu, pertemuaan dengan seorang pengamal perubatan Islam mengesahkan dia mengalami gangguan dan 'benda' itu telah mengikutnya.

"Tanpa saya bercerita banyak, ustaz dapat meneka apa telah saya lakukan dan pesannya agar sentiasa menjaga kata dan tingkah laku terutamanya di tempat baru.

"Alhamdulillah sekarang saya sudah tidak mengalami gangguan selepas mendapatkan rawatan, dan ia pengajaran paling berharga," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

GRS menang majoriti mudah PRN Sabah