SEKARANG adalah waktu di mana ramai orang mula berfikir dan menetapkan azam baru untuk tahun 2025. Dengan kos hidup yang semakin meningkat dan harga barang dijangka terus naik, tidak ada salahnya jika kita bercadang untuk downgrade gaya hidup. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa isi rumah boleh menjimatkan sehingga 20 peratus daripada perbelanjaan bulanan mereka dengan mengurangkan makan di luar dan memilih aktiviti rekreasi yang lebih murah. Malah, langkah ini boleh menjadi strategi bijak untuk mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan simpanan. Hutang menimbun akibat komitmen perbelanjaan yang tinggi. -Gambar hiasan Usah malu kerana dengan memilih untuk hidup lebih sederhana, anda dapat: - Mengurangkan beban hutang - Mengelakkan tekanan kerja yang berlebihan - Menjaga kesihatan fizikal dan mental Bayangkan, jika kesihatan anda terganggu sehingga tidak mampu bekerja, hutang yang ada akan menjadi beban yang lebih berat. Jadi, mengambil langkah untuk hidup secara sederhana adalah satu pelaburan untuk masa depan. Pengorbanan kecil ini pasti akan memberi hasil yang besar di masa hadapan. Berikut adalah beberapa tip dikongsikan @kerjazz untuk memulakan gaya hidup sederhana. Kos perbelanjaan makan di restoran semakin lama semakin melonjak. -Gambar hiasan Tip 'downgrade' gaya hidup: 1. Makan di rumah Makan di rumah jauh lebih menjimatkan daripada menikmati hidangan di luar. Mana tidaknya, kos satu hidangan di restoran boleh mencecah RM30 termasuk minuman. Dengan memasak sendiri, anda dapat berjimat lebih banyak. Sebagai contoh, kos untuk membeli bahan-bahan seperti sayur, daging, dan rempah mungkin hanya RM50, tetapi boleh digunakan untuk menyediakan beberapa hidangan berbanding makan di luar yang memakan kos sekitar RM30 untuk satu hidangan sahaja. Selain itu, cuba amalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Selain manfaat kesihatan, anda juga hanya perlu makan sekali sehari, menjimatkan perbelanjaan makanan. Berbelanja ketika promosi juga salah satu cara untuk menjimatkan duit. -Gambar hiasan 2. Beli baju terpakai atau kedai dalam talian Mengapa membelanjakan wang untuk pakaian mahal di pusat beli-belah apabila anda boleh membeli pakaian preloved atau thrifted? Ia bukan sahaja lebih murah tetapi juga lebih mesra alam. Anda juga boleh cuba berbelanja pakaian di kedai online untuk mendapatkan harga yang jauh lebih murah berbanding di pusat beli-belah. Harga di kedai online kebanyakannya lebih berbaloi. Anda hanya perlu rajin membaca ulasan daripada pembeli lain untuk memastikan kedai tersebut boleh dipercayai sebelum membuat pembelian. Lakukan brisk walk atau jogging di taman untuk menyihatkan tubuh badan. -Gambar hiasan 3. Kurangkan pergi ke pusat beli-belah Setiap kali anda pergi ke pusat beli-belah, pasti ada duit yang akan keluar. Contohnya, anda mungkin tergoda untuk membeli kopi premium, pakaian, atau aksesori yang tidak dirancang. Selain itu, kos parkir dan makanan di restoran juga boleh menambah perbelanjaan tanpa disedari. Apa kata tukar rutin ini dengan aktiviti yang lebih murah dan sihat seperti berjalan di taman, hiking, atau brisk walk di waktu pagi. Malah, anda boleh merancang aktiviti berkeluarga seperti piknik di taman untuk menggantikan hiburan di mall. Kos langganan internet dan telefon boleh membebankan jika tidak berbelanja dengan bijak. -Gambar hiasan 4. Potong langganan yang tidak perlu Perhatikan langganan bulanan anda. Banyak perkhidmatan seperti Netflix, Spotify, atau aplikasi lain yang mungkin jarang anda gunakan. Hentikan daripada langganan yang tidak perlu dan gunakan alternatif percuma seperti YouTube, radio, atau Apple Music percuma. Selain itu, semak kembali pelan internet anda. Adakah anda benar-benar memerlukan kelajuan tinggi atau kuota yang besar? Pilih pelan yang lebih sesuai dengan penggunaan anda untuk mengurangkan bil bulanan. Contohnya kos langganan pelan internet postpaid untuk telefon bimbit juga boleh ditukar kepada pelan prepaid yang lebih murah. Mulakan secara perlahan tapi konsisten Langkah yang kecil tetapi konsisten adalah kunci untuk mencapai gaya hidup sederhana yang berjaya. Sebagai contoh, anda boleh mula dengan membawa bekal makanan ke tempat kerja setiap hari. Walaupun nampak kecil, langkah ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga memastikan anda makan dengan lebih sihat. Setiap penjimatan, walaupun kecil boleh memberi impak besar kepada kewangan anda dalam jangka masa panjang. Tahun 2025 adalah masa yang tepat untuk membuat perubahan yang bermakna demi masa depan yang lebih cerah. Jadi, jom kita mula downgrade gaya hidup dan ubah tabiat yang tidak perlu demi kewangan yang lebih stabil! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube