suria

Pening hutang keliling pinggang? Apa kata cuba kaedah 'snowball'... anda pasti lega

Hutang kad kredit antara punca bebanan kewangan yang biasa dialami terutamanya golongan muda. - Gambar Sekadar Hiasan

SEMUA orang tentu tidak mahu mempunyai beban hutang tapi adakalanya keadaan mungkin memaksa kita untuk membeli sesuatu barang secara ansuran atau meminjam wang daripada bank mahupun pihak ketiga.

Tapi apabila hutang mula menggunung, pasti kita akan berasa bingung bagaimana untuk melunaskannya dan lebih parah jika sesuatu menimpa kita seperti dibuang kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Tertekan hilang kerja disebabkan pandemik? ‘It's OK’... cuba tenangkan diri dengan 4 langkah ini

Sebenarnya terdapat cara untuk melangsaikan hutang termasuklah menggunakan kaedah dikenali sebagai snowball.

Bebanan hutang yang tinggi boleh memberi masalah kepada kita.

Kaedah yang diperkenalkan oleh pakar kewangan, Dave Ramsey ini menyarankan agar melangsaikan hutang dengan jumlah kecil sehingga yang paling tinggi jumlahnya seperti bebola salji.

Dengan cara ini, penghutang secara psikologinya akan berasa beban kewangannya mampu diselesaikan secara berperingkat.

Cara melunaskan hutang dengan kaedah ini juga boleh dibahagikan kepada empat langkah termasuklah;

Senaraikan semua hutang anda mengikut angka paling kecil sehingga besar.

1. Hutang pelbagai sumber

Jika anda mempunyai hutang daripada pelbagai sumber dan berniat untuk melunaskannya secara berperingkat, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuat senarai hutang-hutang anda.

Cuba kumpulkan semua 'koleksi' hutang anda dan pihak yang terbabit serta susun mengikut jumlah - yang paling kecil sehingga paling tinggi.

2. Hutang kecil, bayar lebih

Untuk melunaskannya, setiap bulan disiplinkan diri membayar setiap hutang anda dengan kadar minimum tapi cuba untuk membayar ekstra pada hutang dengan jumlah paling sedikit.

Misalnya, jika bayaran minimum kad kredit anda RM200, cuba bayar lebih seperti RM400-RM500 setiap bulan. Dengan itu, anda akan cepat melangsaikan hutang anda.

Selesaikan hutang dengan jumlah paling kecil terlebih dahulu.

3. Wang ekstra bayar hutang seterusnya

Setelah berjaya melunaskan hutang paling sedikit, gunakan wang ekstra yang anda bayar kad kredit untuk membayar hutang seterusnya.

Jika untuk hutang kedua anda membayar RM300 setiap bulan, tambah RM200 yang anda bayar kad kredit sebelum ini untuk melunaskannya.

Anggap sahaja hutang sebelum ini masih belum selesai namun ia digunakan untuk membayar hutang kedua.



Biar susah sekarang tapi paling penting dapat lunaskan semua hutang.

4. Ulang langkah sama

Ulangi cara melunaskan hutang tersebut sehingga semua bebanan anda selesai.

Kaedah snowball ini dianggap cukup efektif kerana kesan psikologinya. Ini kerana ketika melihat setiap hutang akhirnya berjaya diselesaikan, anda akan berasa kurang beban dan lebih bermotivasi untuk menyelesaikan hutang yang lain.

Namun salah satu kekurangan kaedah ini adalah ia boleh menyebabkan faedah lebih besar kerana hutang dibayar secara perlahan-lahan.

Jika merasakan ia sebagai satu masalah, terbalikkan kaedah ini dengan memberi fokus melunaskan hutang dengan faedah lebih tinggi terlebih dahulu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain