suria

Covid-19 uji kemampuan penuntut USIM, 'Raya Online' bukan karya biasa-biasa... siap ada Makcik Kiah!

Iklan Raya Online yang dihasilkan oleh pelajar USIM.

BERDEPAN dengan pandemik penularan wabak Covid-19 serta perlu mematuhi Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) sejak 18 Mac lalu tidak mematahkan semangat sekumpulan penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menerbitkan iklan Hari Raya USIM 2020 iaitu 'Raya Online'.

Penuntut Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM yang juga pengarah iklan tersebut, Farhan Halim memberitahu keseluruhan konsep jalan cerita dan skrip asal yang dirancang lebih awal terpaksa diubah pada saat akhir ekoran pengumuman kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan Covid-19 di Malaysia.

"Kru terdiri daripada sembilan pelajar USIM dari pelbagai fakulti dan sebahagian besar daripada kami terkandas di kampung, tidak dapat pulang semula ke kampus untuk meneruskan kerja-kerja penggambaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak balik kampung bukan bererti raya tak meriah! Ini 5 cara elak diri berendam air mata di pagi Syawal

"Melihat tempoh PKP terus bersambung dan kekangan untuk meneruskan rakaman di lapangan, kami dapat idea hasilkan jalan cerita baharu berdasarkan situasi pelajar universiti yang terkandas di kampus dan berkemungkinan tidak dapat pulang beraya," ujarnya.

Antara babak menarik dalam 'Raya Online'.

Iklan itu dihasilkan dan diterbitkan sepenuhnya dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (Starcomm) dan ia telah pun ditayangkan di YouTube sejak 15 Mei lalu.

Ini bukan kali pertama USIM menghasilkan iklan raya malah penuntut universiti itu aktif menghasilkan pelbagai video bersempena Aidilfitri sejak 2013 dengan mengangkat pelbagai tema dan kisah.

Ia sekaligus membuatkan iklan raya terbitan universiti itu mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menantikan karya terbaharu mereka.

Sementara itu, sejak ia ditayangkan, 'Raya Online' sudah pun mendapat 30,000 tontonan di YouTube dan 22,000 tontonan serta 400 perkongsian di Facebook.

Pengarah Raya Online, Farhan Halim.

Bagi penulis skrip, Syauqi Mardia Baharudin, idea menulis kisah iklan itu datang daripada pelbagai situasi semasa yang dekat di hati rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP.

Secara tidak langsung kata Syauqi, dia turut memasukkan elemen tular seperti Mak Cik Kiah, pembelian secara dalam talian, Tiktok dan abang penghantar makanan selain menonjolkan manfaat platform e-Dagang dan gajet yang memudahkan perhubungan.

“Saya turut membawakan watak utama sebagai Aydeen Mardia, seorang siswa USIM berasal dari Kota Marudu, Sabah yang tidak dapat pulang ke kampung kerana terkandas di kampus akibat PKP.

"Tidak mahu terus dibelenggu rasa sedih dan kecewa akan beraya berjauhan buat kali pertama, dia tetap ingin meraikan kemeriahan Aidilfiltri dengan bantuan ‘jarak jauh’ oleh ibu dan adiknya," katanya yang juga penuntut Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah.

Kreativiti pelajar USIM menarik perhatian penonton.

Mengangkat mesej ‘Jauh dekat bukanlah ukuran, Syawal dirai, Kekeluargaan dieratkan', sebagai penulis skrip, dia berasa gembira dengan sambutan positif daripada penonton dan merasakan apa dilakukan berbaloi apabila ia diterima baik.

"Kerja-kerja pra-produksi, penggambaran dan suntingan semuanya mengambil masa selama dua bulan dan menariknya untuk penggambaran, kami berjaya siapkan dalam tempoh 24 jam sahaja. Ia dibuat secara indoor di dalam sebuah rumah sewa dan selebihnya di studio green screen Stracomm," katanya.

Dalam perkembangan lain, sebagai tanda sokongan moral kepada barisan hadapan dan mendoakan rakyat Malaysia untuk terus kuat dan bersatu hati dalam menempuh detik-detik sukar akibat Covid-19, USIM melalui Pusat Kebudayaan turut melancarkan sebuah lagu khas yang berjudul ‘We Pray For A Better World’.

Dinyanyikan oleh warga kampus dan alumni, ia turut menampilkan artis terkenal tanah air untuk berpadu suara bersama antaranya Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip, Syura, Ayu Damit, Farawahida, Sahri, Rosma dan Akma.

Turut membuat penampilan khas dalam lagu ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Iklan Raya, USIM, Covid-19, PKP, Aidilfitri, Syawal

Artikel Lain