suria

Kaum Adam boleh tentukan sendiri kualiti air mani! Cuma kawal 2 perkara, jauhi 2 musuh utama reproduksi lelaki

Terdapat beberapa cara untuk memastikan pengeluaran air mani sihat. (Gambar hiasan, Freepik)

AIR mani yang berkualiti merupakan antara faktor penting untuk mendapatkan zuriat.

Sebelum ini, Juruteknologi Makmal Patologi di Dunia Wellness & Laboratories, Muhammad Noor Zakaria atau lebih senang disapa sebagai Mdno telah berkongsi tentang ciri-ciri air mani yang tidak sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna mata kasar je, lihat 3 ciri ini untuk tentukan air mani anda sihat atau bermasalah

Kali ini Mdno berkongsi pula beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh kaum Adam untuk memastikan pengeluaran air mani yang berkualiti.

Ini sekali gus membantu meningkatkan kebarangkalian pasangan suami isteri untuk menimang cahaya mata.

Berikut merupakan beberapa faktor yang perlu diberikan perhatian oleh kaum lelaki :

Emosi juga boleh mempengaruhi kualiti air mani. (Gambar hiasan, Freepik)

1) Kestabilan emosi

Menurut Mdno, air mani yang sihat berkait rapat dengan emosi semasa seseorang.

Seperti ibu yang mahu mengeluarkan susu berkualiti untuk bayinya, ia bergantung kepada hormon dan turun naik emosi wanita itu.

Sama juga dengan air mani lelaki. Jika lelaki itu melalui depresi, stres atau tekanan yang melampau, kualiti semen yang dikeluarkan juga akan terjejas.

Kualiti semen yang teruk bermaksud ia mengandungi kuantiti sperma yang sangat sedikit daripada yang sepatutnya.

Jadi kepada lelaki di luar sana, penting untuk anda menjaga kesihatan mental dan kestabilan emosi jika mahukan pengeluaran air mani yang berkualiti.

Makanan organik harus diketengahkan untuk menjaga kesihatan air mani. (Gambar hiasan, Freepik).

2) Pemakanan

Dari sudut pemakanan pula, Mdno menekankan kepentingan untuk mengambil makanan yang kaya dengan zink seperti produk tenusu.

Zink boleh membantu meningkatkan kuantiti sperma dan menstabilkan hormon testosteron.

Selain zink, makanan yang mengandungi Omega 3 seperti ikan juga boleh membantu meningkatkan kuantiti sperma.

Tidak lupa juga kacang walnut yang boleh diibaratkan seperti rakan baik untuk sistem reproduksi lelaki.

Selain itu, elakkan makanan yang berasaskan soya seperti tauhu dan kicap kerana dalam soya terdapatnya estrogen yang boleh mengganggu kestabilan hormon.

Seterusnya jauhi juga makanan proses yang berlemak seperti makanan segera dan perbanyakkan makanan organik seperti sayur sayuran dan buah-buahan.

Rokok harus dijauhi sama sekali jika berbicara soal kualiti air mani. (Gambar hiasan, Freepik)

3) Ubah gaya hidup, jauhi rokok dan alkohol

Menurut Mdno, terdapat dua perkara yang merupakan musuh utama kepada sistem reproduksi lelaki dan harus dijauhi sepenuhnya.

Pertama sekali ialah merokok dan kedua, minuman keras atau beralkohol.

Dua tabiat tersebut akan memberikan kesan buruk secara terus kepada sistem reproduksi lelaki.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain