suria

Sejarah tercipta! Kali pertama uji virus pembunuh kanser ke atas manusia

Vaxinia diperbuat daripada virus cacar yang diubah suai dengan masuk ke dalam sel dan menggandakan dirinya sendiri.

VIRUS pembunuh kanser buat pertama kalinya dicuba ke atas manusia dengan harapan ia akan menjadi kaedah terbaharu merawat pesakit pada masa hadapan.

Dikenali sebagai CF33-hNIS atau Vaxinia, virus itu disebut sebagai onkolitik yang diubah suai secara genetik dan dirancang untuk menjangkiti serta membunuh sel kanser secara selektif sambil memisahkan sel sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Letak telefon dalam poket punca mandul, sperma lemah? Ini penjelasan pakar

Vaxinia diperbuat daripada virus cacar yang diubah suai dengan masuk ke dalam sel dan menggandakan dirinya sendiri. Kemudian, sel yang dijangkiti itu akan meledak, melepaskan ribuan partikel virus baharu dan bertindak sebagai antigen seterusnya merangsang sistem kekebalan diri untuk menyerang sel kanser.

Pakar Onkologi City of Hope dan penyelidik utama, Dr Daneng Li menjelaskan pihaknya percaya bahawa Virus pembunuh kanser memiliki potensi untuk menjadi kaedah rawatan buat pesakit kanser.

Uji kaji virus pembunuh kanser itu dilakukan terhadap 100 pesakit kanser dengan tumor lanjutan yang sebelum ini sudah mencuba dua kaedah rawatan standard sebelumnya.

Young woman with drip standing by the hospital window

Penemuan terbaharu itu memberi harapan kepada pesakit kanser.

Selepas mendaftar, pesakit akan menerima ubat eksperimental dos rendah menerusi suntikan langsung dan pada tahap awal, pesakit akan dinilai sama ada menunjukkan sebarang kesan sampingan sebelum dilanjutkan dengan ujian tambahan.

Daripada uji kaji ini, penyelidik akan mendapat informasi mengenai sebanyak mana CF33-hNIS efektif mengecilkan tumor. Kajian itu memakan masa selama dua tahun.

Sebelum ini, uji kaji dibuat terhadap haiwan dan virus ini menunjukkan ia dapat meningkatkan sistem kekebalan untuk 'memburu' sel kanser dan membunuhnya.

"Kajian kami sebelum ini menunjukkan bahawa virus onkolitik dapat merangsang sistem kekebalan untuk bertindak balas dan membunuh sel kanser selain merangsang sistem kekebalan tubuh untuk lebih responsif terhadap imunoterapi yang lain," kata Dr Daneng.

Jika virus pembunuh kanser ini menunjukkan hasil yang baik pada haiwan, maka ia akan menjadi terapi virus onkolitik kedua yang dipersetujui FDA untuk rawatan kanser.

Sebelum ini, terdapat rawatan dikenali Talimogene laherparepvec (T-VEC) iaitu ubah suai virus herpes yang digunakan untuk rawatan melanoma.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain