suria

Tahun ini Lailatul Qadar jatuh pada Jumaat, 29 April? Ustaz kata kemungkinan dengan sangkaan

Adakah benar Lailatul Qadar akan berlaku pada malam ganjil Ramadan yang jatuh pada malam Jumaat?

ADA pendapat mengatakan bahawa sekiranya malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan bertepatan dengan malam Jumaat, maka malam Lailatul Qadar akan berlaku pada malam itu.

Riwayat daripada Aisyah R.A., bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Maksudnya): “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadan.”

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri, beliau berkata:

ARTIKEL BERKAITAN: Bila waktu sebenar Lailatul Qadar? Ketahui sebab Allah sembunyikan masa khusus, kena cari InsyaAllah dapat

(Maksudnya): "Rasulullah beriktikaf di bulan Ramadan pada sepuluh malam pertengahan bulan. Pada petang hari setelah dua puluh malam berlalu dan menjelang malam kedua puluh satu, Baginda kembali ke rumah dan orang-orang yang beriktikaf bersamanya juga ikut kembali (ke rumah mereka). Sesungguhnya Baginda meneruskan iktikaf pada malam yang biasanya Baginda akan pulang ke rumah. Baginda menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai dan memerintahkan mereka menurut apa yang Allah kehendaki."

Kemudian Baginda bersabda: ‘Aku telah melakukan iktikaf pada sepuluh malam sebelumnya pada bulan ini. Kemudian telah diperlihatkan kepadaku untuk melakukan iktikaf pada sepuluh malam yang terakhir. Sesiapa yang telah iktikaf bersamaku, hendaklah dia tetap berada di tempat iktikafnya. Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku malam yang dimaksudkan itu, kemudian aku dijadikan lupa pula kepadanya. Carilah ia pada sepuluh malam yang terakhir, dan carilah ia pada setiap malam yang ganjil. Aku telah melihat diriku sujud di atas air dan tanah.’

Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith-hadith ini di bawah ‘Bab Mencari Lailatul Qadar Pada Malam-malam Ganjil di Sepuluh Malam yang Terakhir,’ dalam kitab sahihnya.

553

Hidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan perbanyakkan ibadah dan meminta keampunan daripada Allah.

Akan tetapi sepuluh malam ganjil yang terakhir lebih utama berbanding malam lainnya, dan malam ke-27 merupakan malam yang paling utama berbanding malam-malam lain sebagai malam al-Qadar (Lailatul Qadar), berdasarkan kepada hadis-hadis yang menunjukkan kepada perkara tersebut.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hikmah disembunyikan dan dirahsiakan malam Lailatul Qadar secara terperinci adalah supaya orang-orang Islam semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam ibadah, doa dan zikir mereka dalam sepuluh malam terakhir keseluruhannya, dan bukannya bersungguh-sungguh pada malam tertentu atau sebahagiannya sahaja.

Ini adalah sebagaimana hikmah tidak ditentukan secara terperinci waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Lebih-lebih lagi, terdapat riwayat daripada Aisyah R.A., beliau berkata:

(Maksudnya): “Rasulullah SAW apabila masuknya 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, Baginda akan membangunkan ahli keluarganya (untuk mendirikan solat malam), mengetatkan ikatan kainnya dan menghidupkan malam tersebut.”

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Aisyah R.A, beliau berkata: (Maksudnya): “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”

Malam ganjil 10 terakhir Ramadan bertepatan dengan malam Jumaat

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan daripada Ibn Hubairah, katanya: (Maksudnya): Apabila malam ganjil (dari sepuluh hari terakhir Ramadan) jatuh pada malam Jumaat, maka itu lebih diharapkan (sebagai malam Lailatul Qadar) daripada malam selainnya.

1561413

Lailatul Qadar akan berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan.

Namun begitu kata Zulkifli, tidak ada nas yang jelas yang boleh menguatkan pendapat ini. Kemungkinan beliau berpandangan begini dengan bersandarkan bahawa malam sebelum Jumaat adalah malam yang paling baik dalam seminggu, maka jika ia bertepatan dengan salah satu malam ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadan, kemungkinan besar ia merupakan Lailatul Qadar.

Syeikh Sulaiman al-Maajid berkata dalam fatwanya ketika ditanya berkenaan hal ini, katanya: Kami tidak mengetahui sebarang dalil dalam Islam yang menunjukkan bahawa jika malam Jumaat itu bertepatan dengan malam ganjil, maka ia adalah Lailatul Qadar. Justeru, kita tidak boleh secara pasti atau percaya bahawa kenyataan berkenaan hal ini adalah benar.

Apa yang disyariatkan adalah bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, kerana sesiapa yang melakukan itu pasti dia telah mengejar Lailatul Qadar.

"Justeru, apa yang pasti berdasarkan hadis dan juga nas bahawa Lailatul Qadar berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir, dan berkemungkinan besar berlaku salah satu malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

"Jika malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan bertepatan dengan malam Jumaat, ia merupakan kemungkinan dengan sangkaan dan harapan bahawa malam tersebut merupakan malam Lailatul Qadar dan ia bukanlah secara pasti.

"Sangkaan dan harapan ini berkemungkinan kerana terkumpulnya kebaikan pada hari Jumaat yang merupakan penghulu hari dalam seminggu, namun begitu tidak ada nas yang qat’ie menyatakan bahawa malam Lailatul Qadar akan berlaku pada malam jumaat," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain