suria

6 cara mudah cuci kerang, guna kunyit paling disaran! Kulit bersih bebas selut, baru syok jamu selera

Perbezaan ketara pada kulit kerang selepas dibersihkan. -Gambar hiasan

KERANG merupakan makanan kegemaran ramai, sangat lazat sama ada dicicah dengan sos cili Thai atau pencicah lain.

Namun proses membersihkan kulit kerang yang diselaputi selut dan lumpur agak melecehkan, membuatkan tukang masak hanya mencucinya sekadar cukup syarat.

Melalui satu perkongsian di laman Facebook, seorang wanita dikenali sebagai Shida Rahman mendedahkan teknik untuk membersihkan kulit kerang sehingga menjadi bersih dan putih!

Apabila kulit kerang dicuci bersih, barulah kita lebih berselera untuk menikmati hidangan itu tanpa rasa was-was.

Ayuh kita lihat bagaimana caranya, ada beberapa petua yang anda boleh cuba!

Kerang rebus antara hidangan popular di restoran. -Gambar hiasan

1) Serai

Ambil beberapa batang serai, tumbuk tetapi jangan sehingga hancur lumat. Masukkan ke dalam rendaman air yang sudah dimasukkan kerang. Gaul dengan tangan.

Biarkan selama 10 minit dan tus. Anda dapat perhatikan kulit kerang menjadi lebih cerah.

2) Pelepah pisang

Ambil beberapa batang pelepah pisang, gosokkannya pada kerang. Anda akan dapati kulit kerang lebih senang dicuci dan isinya terasa lebih enak.

3) Daun ubi

Gaul kerang dengan daun ubi, kemudian ramas-ramaskannya bersama. Lumpur degil pada kulit kerang akan mula luntur.

Daun ubi juga boleh digantikan dengan daun betik, gunakan teknik yang sama.

4) Hampas kelapa

Gaul kerang dengan hampas kelapa, biarkan ia sebati selama sejam hingga dua jam. Anda dapat lihat kulit kerang menjadi putih bersih.

Pelbagai masakan meliurkan boleh dihasilkan melibatkan kerang. -Gambar hiasan

5) Bawang putih

Tumbuk bawang putih sehingga lumat, kemudian gunakan ia untuk menyental kulit kerang.

6) Rendaman air

Ambil kerang dan rendamkan ke dalam air beras.

Selain itu, boleh juga cuba air asam keping. Rendamkan kerang selama setengah jam, dijamin kulitnya menjadi putih bersih.

Air garam turut boleh memberikan hasil yang sama ke atas kulit kerang.

Akhir sekali, anda boleh rendamkan kerang ke dalam air yang sudah dimasukkan serbuk kunyit. Biarkan selama 16 minit, cara ini yang paling disarankan, memang cerah terus kulit kerang.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! - Shida Rahman

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain