suria

Wanita kongsi resipi murtabak mini anti gagal, guna kulit popia je... Memang puas hati makan!

Anda boleh menghasilkan murtabak mini di rumah dengan menggunakan kulit popia.

BELUM cukup seminggu kita berpuasa, banyak keluhan tentang harga makanan bazar Ramadan mula dikongsi netizen melalui media sosial.

Antara yang mengejutkan, seorang peniaga sebuah bazar Ramadan di ibu negara turut menerima kecaman netizen kerana menjual sekeping murtabak pada harga RM7.

Bagi mana-mana individu yang mencari alternatif lebih murah, apa kata cuba buat sendiri murtabak mini yang menggunakan kulit popia.

Menerusi perkongsian resipi oleh Roshima Ibrahim Shima, murtabak mini itu hanya menggunakan 10 bahan sahaja.

Bahan-bahan

500 gram isi ayam atau daging yang dicincang

5 biji kentang dipotong dadu

3 sudu makan rempah kari

1 ulas bawang putih dihiris

1 biji bawang besar dihiris

2 biji bawang besar dipotong dadu

Hirisan daun sup

Sedikit garam

Sedikit gula

Sedikit minyak masak utk menumis.

murtabak2

Murtabak merupakan menu kegemaran ramai, khususnya pada bulan Ramadan.

Cara memasak inti

1. Panaskan kuali. Tuang sedikit minyak masak. Masukkan bawang yang dihiris.

2. Masukkan rempah kari dan masukkan sedikit air. Masak rempah hingga pecah minyak.

3. Masukkan isi ayam dan masukkan kentang. Masukkan air separas bahan-bahan yang dimasak. Jangan lebih nanti inti lembik.

4. Masak sehingga air hampir kering. Masukkan sedikit garam dan gula. (Jika nak letak serbuk perasa pun boleh).

5. Masak hingga betul-betul kering. Sejukkan dan sedia untuk langkah menyediakan murtabak mini.

Cara penyediaan murtabak mini

1. Pecahkan dua biji telur, pukul dan masukkan sedikit garam. Masukkan bahan-bahan seperti inti ayam dan kentang yang dimasak tadi.

2. Masukkan daun sup dan bawang. Kacau hingga sebati.

3. Buka kulit popia, letak atas dulang. Ambil tiga sudu makan inti yang dicampurkan dengan telur dan bawang. Letak di tengah-tengah kulit popia intinya. Lipat atas, bawah, kiri dan kanan. Terbalikkan bila dilipat dan masukkan dalam kuali.

4. Untuk membakar, panaskan kuali, letakkan sedikit minyak, ltakkan popia. Kalau suka letak minyak banyak okey saja. Ikut selera masing-masing.

5. Bakar sehingga masak. Balik-balikkan ia. Apabila dah siap bolehlah dihidangkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain