suria

Teringin selami budaya di perkampungan orang asli? Tak payah travel jauh, suku Mah Meri ada di Pulau Carey

Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun.

BAGI anda yang suka meneroka keunikan budaya dan warisan di negara kita sendiri, lokasi ini adalah tempat sesuai untuk dikunjungi!

Tidak perlu melancong ke tempat viral jauh-jauh, hanya travel di negeri Selangor sahaja sudah cukup untuk alami keterujaan menyelami budaya suku kaum lain.

Di Selangor terdapat 74 buah perkampungan orang asli yang terdiri daripada suku kaum Mah Meri, Temuan dan Semai.

Suku kaum Mah Meri yang dikenali dengan seni kraf ukiran topeng menetap di Pulau Carey, Selangor semenjak 300 tahun yang lalu dan kini terdiri daripada lima buah perkampungan.

Perarakan ke Pantai Bangkong bagi merayakan sambutan Perayaan Hari Moyang Laut dan persembahan tarian Jo’oh kepada para pengunjung.

Seni ukiran Topeng oleh suku kaum Mah Meri diibaratkan umpama nyawa mereka yang digunakan dalam pelbagai istiadat termasuklah penyembahan, merawat pesakit dan menolak bala.

Menyelami keunikan suku kaum Mah Meri

Keunikan hasil seni ukir kaum Mah Meri yang berbentuk seperti dewa, manusia, tumbuh-tumbuhan serta haiwan telah mendapat pengiktirafan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (Unesco).

Hasil seni yang dibeli dari kawasan ini memegang sijil ketulenan Unesco yang tersendiri.

Selain hasil seni ketara (tangible arts) yang dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri, tradisi dan warisan seperti perayaan Hari Moyang laut yang dikira sebagai sebuah seni tidak ketara (intangible arts) adalah sangat bernilai.

Ia memainkan peranan yang amat penting bagi industri pelancongan di negeri Selangor.

Persiapan menghias Balai Moyang dengan seni anyaman bagi hari kedua.

Sambutan Hari Moyang Laut

Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun selepas Tahun Baru Cina.

Tujuan diadakan adalah bagi memohon perlindungan, pengampunan dan kesejahteraan kepada keluarga dan penduduk-penduduk di sekitar dengan memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baru.

Perayaan yang berlangsung selama 5 hari ini melibatkan beberapa upacara seperti:

1. Hari Pertama: Upacara perayaan Datuk Panglima Hitam.

2. Hari Kedua: Persiapan menghias Balai Moyang dengan seni anyaman.

3. Hari Ketiga: Upacara memanggil moyang dan tepung tawar.

Upacara memanggil moyang dan tepung tawar pada hari ketiga.

4. Hari Keempat: Perarakan ke Sungai Teluk Tanjung bagi upacara Hari Jadi Moyang Laut dan menjamu makanan di Sangga untuk arwah roh Moyang di setiap rumah di Kampung Sungai Judah serta memohon restu di laut dan sungai di sekitar Pulau Carey.

5. Hari Kelima: Perarakan ke Pantai Bangkong bagi merayakan sambutan Perayaan Hari Moyang Laut dan persembahan tarian Jo’oh kepada para pengunjung.

Keunikan suku kaum Mah Meri ini amat luas daripada segi warisan dan hasil seninya.

Ini dapat dilihat dengan penghasilan warisan kraftangan seperti perhiasan-perhiasan yang digunakan serta dijual kepada para pelancong sepanjang perayaan Hari Moyang Laut yang telah dijalankan pada tahun ini.

Tourism Selangor berpeluang menyertai sebuah dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut oleh para pelajar dari Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan menyelami keunikan budaya Kaum Mah Meri yang menjadi antara tarikan pelancongan negeri ini.

Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun.

Sekumpulan pelajar tahun tiga ijazah Sarjana muda Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengambil peluang merakamkan sebuah dokumentari bertajuk Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut selama lima hari, disokong oleh beberapa rakan kerjasama seperti Tourism Selangor, Kakiseni, Arkib Negara, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Muzium Malaysia.

Dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut ini telah ditayangkan di Pawagam Jalan Ampas, LokaKarya, ASWARA dengan persembahan khas dari komuniti suku kaum Mah Meri.

Dekan fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Dr. Zulkifli Ab Rashid, dalam satu kenyataan berkata, keunikan yang ada pada perayaan yang dirayakan oleh suku kaum Mah Meri ini perlulah dititikberatkan oleh semua pihak supaya ianya kekal terjaga dan menjadi sebuah khazanah yang berharga buat negara ini.

Dengan penglibatan pemain seni tempatan, Tourism Selangor yakin bahawa negeri Selangor mampu mencapai visi dalam menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah hab industri kreatif.

Krew yang terdiri daripada para pelajar dari Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dalam pada itu, Tourism Selangor menggalakkan orang awam terutamanya para pelancong serta pusat pendidikan untuk menyertai acara-acara seperti Perayaan Hari Moyang Laut bagi mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan warisan tempatan.

Para pengunjung boleh berhubung terus dengan Mah Meri Cultural Village di https://www.mmcv.org.my/ bagi mendapatkan informasi lanjut tentang lawatan ke perkampungan suku kaum Mah Meri di Pulau Carey.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain