suria

Pulau di Mersing ini janji pengalaman mengasyikkan, paling best tak sesak dengan pengunjung!

Keindahan Pulau Besar memukau mata memandang.

DEK kerana masing-masing tidak dapat bercuti ke luar negara ketika ini, jadi banyak destinasi percutian tempatan dibanjiri dengan kehadiran pengunjung terutamanya 'kaki travel'.

Pulau-pulau peranginan di Pantai Timur seperti Redang, Perhentian, Kapas dan Lang Tengah antara yang ‘laku keras’ dan kebanyakan bilik sudah habis ditempah sehingga penghujung musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dilabel antara lokasi seram di Asia... Muzium Perang Pulau Pinang janjikan pengalaman berbeza, jangan lepas peluang rasai pahit getir era dijajah!

Tetapi, tahukah anda pulau-pulau yang terletak di Mersing juga tidak kurang hebatnya? Lebih-lebih lagi jika anda mahukan privasi dan jauh daripada tumpuan ramai.

Salah satu pulau yang cukup indah dan mempesona ialah Pulau Besar atau nama asalnya Pulau Babi Besar. Kenapa asalnya dinamakan Pulau Babi Besar? Menurut penduduk tempatan, dahulunya kawasan hutan di pulau ini dihuni oleh banyak babi hutan, namun kini spesis itu sudah tidak ditemui lagi.



Berbasikal cukup menyeronokkan di Pulau Besar.

Sebagai info, Pulau Besar ini termasuk di dalam Taman Laut Sultan Iskandar Johor bersama 12 lagi pulau yang lain. Jadi untuk masuk ke sini, anda perlu membayar caj RM10 dan RM5 lagi bayaran kepada Taman Laut Malaysia.

Dari Jeti Mersing, perjalanan ke Pulau Besar hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dengan menaiki speedboat. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sini, anda pasti kehilangan kata-kata. Inilah syurga dunia. Lautnya yang membiru, pantainya yang memutih serta persekitarannya yang mendamaikan, cukup mempesona.

Bagaimana pula dengan penginapan? Di sini hanya terdapat lima buah resort yang boleh dijadikan pilihan. Tepuk dada, tanya selera. Berapa bajet yang anda sanggup keluarkan untuk sebuah percutian idaman.

Sebagai info, di sini tidak terdapat kedai-kedai makan seperti di Redang, Perhentian atau Tioman. Jadi, boleh dikatakan kesemua resort di sini menawarkan pakej penginapan berserta makanan. Bagaimanapun, anda masih boleh membuat pesanan secara ala-carte di restoran atau café resort pilihan.



Tak kenal, maka tak cinta. Jika mahukan percutian yang mendamaikan,Pulau Besar pilihan ideal.

Penginapan selesa, makanan lazat

Ketika berkunjung ke pulau ini baru-baru ini, penulis dan rakan-rakan berkesempatan bermalam di Bayu Lestari Island Resort. Resort yang menampilkan villa-villa kayu ini menawarkan penginapan yang boleh disesuaikan mengikut tema percutian.

Ada villa untuk berbulan madu, percutian keluarga dan juga villa untuk percutian bersama rakan-rakan yang boleh memuatkan sehingga 12 orang. Persekitaran hotel juga bersih dan cantik.

Bintang utama resort menghadap ke laut ini sudah pastilah jeti persendirian yang ‘instagrammable’. Setiap pengunjung yang singgah di Pulau Besar pasti tidak akan lepaskan peluang bergambar di sini, biarpun tidak menginap di Bayu Lestari Island Resort.

Selain itu, pujian juga harus diberikan kepada chef, makanan yang dihidangkan cukup menyelerakan. Bertemakan masakan Melayu, kelazatannya membuatkan penulis dan rakan-rakan tersenyum puas dan teringat-ingat sehingga kini. Maklumlah agak ‘rare’ untuk jumpa makanan Melayu yang lazat di pulau-pulau peranginan.



Antara villa yang boleh anda pilih di Bayu Lestari Island Resort.

Apa yang boleh dilakukan di Pulau Besar?

Perlu ditekankan sekali lagi, pulau ini bukan tempat untuk anda berparti hingga larut malam atau melakukan sukan laut ekstrem. Ia sebuah lokasi percutian yang menjanjikan pengalaman percutian yang mendamaikan, jauh daripada suasana bingit dan menyesakkan.

Dengan kata lain, ia sangat sesuai untuk bersantai-santai sambil menikmati keindahan alam yang menakjubkan. Ini bermakna, jika anda sudah terlalu tertekan dengan rutin harian yang membebankan, Pulau Besar sangat adalah jawapannya.

Selain itu, pasangan pengantin baru yang ingin berbulan madu juga amat disarankan ke sini. Boleh bergambar sepuas hati kerana tidak perlu tunggu giliran atau berebut-rebut dengan orang lain. Banyak spot boleh menjadi ‘hak eksklusif’ anda buat beberapa jam.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah snorkeling di hadapan resort pilihan, atau mengikuti trip yang ditawarkan. Harga untuk trip snorkeling ini di antara RM80 ke RM120 untuk ke tiga lokasi iaitu Pulau Tengah, Pulau Tinggi dan Pulau Besar yang mengambil masa tiga jam. Selain itu, terdapat juga pakej-pakej menyelam untuk diambil.



Jangan lupa saksikan matahari terbenam di Sunset Point.

Selain aktiviti di dalam air, aktiviti paling menyeronokkan ialah berbasikal dari hujung ke hujung pulau. Boleh lihat rumah-rumah penduduk kampung yang hanya tinggal beberapa buah sahaja, melihat mahatari terbenam di Sunset Point serta bergambar di sudut-sudut menarik.

Boleh juga buat jungle trekking kalau berminat. Kalau semua aktiviti ini tidak menarik minat, bermalas-malasan di hammock pun cukup berbaloi. Hamparan lanskap alam yang indah serta angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa cukup mengasyikkan!

Jadi tunggu apa lagi? Cepatlah rancang percutian ke Pulau Besar. Masih punya masa. Menurut pemilik Bayu Lestari Island Resort, mereka menerima tetamu sehingga hujung tahun. Boleh buat tempahan di sini https://bayulestari.com/contact-us/

Selamat bercuti guys!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain