suria

Tiang Kelidieng, bot perang kaum Iban antara khazanah bakal dipamer di muzium terbesar Malaysia

Kompleks Muzium Sarawak bakal dibuka kepada orang ramai April tahun hadapan.

KOMPLEKS Muzium Sarawak bernilai RM323 juta dengan keluasan 6,726 meter persegi yang bakal menjadi muzium terbesar di Malaysia serta kedua terbesar di Asia Tenggara akan dibuka secara rasmi kepada umum pada April tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya sebelum ini bercadang membuka secara rasmi muzium baharu itu pada Disember tahun ini tetapi terpaksa menundanya berikutan pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau di Mersing ini janji pengalaman mengasyikkan, paling best tak sesak dengan pengunjung!

"Pada masa ini proses mengatur semula barang-barang yang akan dimasukkan ke muzium sedang berjalan dengan baik," katanya ketika menyaksikan upacara penerimaan tiang pengebumian "Kelidieng" kaum Melanau berusia lebih 200 tahun di kompleks itu di sini.



Bahagian dalam muzium sebanyak lima tingkat.

Katanya Tiang Kelidieng yang lokasi asalnya adalah dari Sungai Ud, Dalat itu adalah antara 200 barang pameran bersaiz besar bakal dipamerkan di muzium baharu itu, selain sebuah bot perang kaum Iban dan dua tiang pengebumian kaum Punan ke muzium berkenaan.

"Keseluruhannya akan terdapat sebanyak 1,660 barang pameran di muzium baharu ini nanti dan akan menjadi tempat yang mesti dilawati jika berkunjung ke bandar raya ini," katanya.

Mengenai kadar bayaran kemasukan ke muzium baharu itu, Abdul Karim berkata kadar bayaran masih belum ditentukan kerana setakat ini diperingkat perbincangan lagi, bagaimanapun akan ada kadar bayaran berbeza bagi orang tempatan dan orang dari luar Sarawak.

"Bagi mempromosikan budaya kita sendiri kepada anak kita, kita mesti kurangkan sehingga kadar minimum, kerana kita mahu kumpulan etnik Sarawak dapat mengetahui adat budaya mereka sendiri," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain