Wow tree house! Bagai terdampar di private island... Ketahui 10 sebab kenapa chalet di Nenasi ini wajib ada dalam list percutian anda

Kekunang Tering Chalet boleh dikatakan penginapan wow kerana kedudukan di tepi laut dan reka bentuk bilik berkonsepkan rastic.

TINGGALKAN sejenak kehidupan di kota, lalui perjalanan beberapa jam tak apa kerana nanti pasti akan menemui ketenangan yang sukar digambarkan.

Jika pantai menjadi pilihan untuk beriadah, apa kata terokai destinasi tepi pantai di Pahang Darul Makmur.

Selepas mencari-cari, akhirnya terjumpa lokasi menarik di perkampungan Tering, Tanjung Batu di Nenasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masa sesuai cuti-cuti Malaysia! Rebut baucar tempahan AnCasa Hotels & Resorts serendah RM130... 3 lokasi, suasana berbeza tersedia buat anda!

Kekunang Tering Chalet terletak antara bandar Pekan dan Rompin, boleh dikatakan penginapan wow kerana kedudukan di tepi laut dan reka bentuk bilik berkonsepkan rastic.

Tree house antara tarikan di Kekunang Tering Chalet.

Paling rare ada tree house di sini dan ia sesuatu yang jarang-jarang ditemui di mana-mana resort atau chalet di negara ini terutama di tepi pantai, betul tak?

Memang tidak merancang dengan teliti untuk ke sini, jadi mulanya kurang pasti apakah ia lokasi sesuai untuk lapangkan minda bersama famili.

Namun, sebaik menjejakkan kaki ke pasir pantainya yang putih bersih dengan angin sepoi-sepoi menyapa pipi tidak syak lagi ia pilihan tepat - destinasi yang mendamaikan seolah-olah berada di private island!

Tipnya, jangan lupa bawa kamera untuk merakamkan saat-saat indah alam semula jadi jauh dari kota, terutama pengalaman menakjubkan apabila berpeluang melihat saat matahari terbit, aduh memang sukar digambarkan!

Ketika air surut pada waktu malam pula, apa lagi boleh saja berjalan ke tengah laut sehingga kira-kira 100 meter dari pantai sambil melihat karangan dan tapak sulaiman. Bayangkan jika kunjungan ada ketika bulan purnama, suasana itu tentu dikenang dalam lipatan memori anda selamanya.

Pemilik Kekunang Tering Chalet, Edde Firdaus yang lebih mesra disapa Pak Yus di pondok yang dipenuhi dengan ukiran pengunjung luar negara.

Berpeluang menemui pemiliknya, Edde Firdaus sebelum check-out, barulah tahu rupa-rupanya rumah pokok yang didirikan itu pada mulanya sekadar suka-suka, sehingga ramai yang bertanya dan mahu menyewanya.

"Saya ni suka duduk dalam semak, dari kecil lagi sebab itu kedudukan chalet dekat dengan pokok.

"Mulanya tree house tu untuk relaks dan santai sendiri saja sambil perhatikan pelanggan yang menyewa ATV untuk aktiviti pantai, tapi kemudiannya ramai pula bertanya untuk menyewanya dan dari situ perancangan dibuat untuk menambah beberapa jenis penginapan," kata anak jati Nenasi itu.

Tambahnya, palet kayu pine yang diperoleh daripada kilang pemasangan kenderaan di Pekan digunakan untuk menyiapka rumah pokok itu dan sehingga kini menerima kunjungan tetamu tempatan, pengembara berbasikal, kumpulan motosikal besar dan juga pencinta alam terutama dari luar negara.

"Mungkin kami tidak begitu dikenali di halaman sendiri, tapi setakat ini chalet ini jadi sebutan dalam kalangan pengembara berbasikal dari seluruh dunia," kata Edde yang lebih dikenali sebagai Pak Yus.

Di sini juga pengunjung boleh memilih untuk tinggal di Tube Cabin yang comel sesuai untuk dua orang.

Berikut 10 keistimewaan Kekunang Tering Chalet yang pasti menggamit kehadiran sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi.

1) Berkonsepkan eco-chalet unik - lokasinya di tepi pantai persendirian jauh dari kesibukan kerana tidak berada di zon pelancongan di mana hanya chalet itu sahaja yang berada di pinggiran pantai kawasan Tanjung Batu di Nenasi.

2) Panorama alam yang memukau - kelebihannya kerana dapat menyaksikan keindahan matahari terbit yang jarang terdapat di tempat lain kerana kedudukannya tepat aras matahari terbit.

3) Lokasi sesuai untuk pasangan pengantin tak kiralah yang baru atau lama kerana tentunya dapat meluangkan masa bersama, juga keluarga yang mahu menginap di The Loft atau camping di tepi pantai.

Keindahan matahari terbit dapat disaksikan dengan jelas di kawasan chalet ini.

4) Caretaker 24 jam - Dikenali sebagai Pak Nan, beliau sentiasa bersedia membantu dan menjaga keselamatan penyewa, orangnya ramah dan berpengalaman luas dengan keadaan persekitaran untuk menyampaikan maklumat kepada pelanggan.

5) Pantai bersih, cetek dan tidak tercemar - sesuai bagi aktiviti pantai dan memancing. Jika penggemar aktiviti memancing laut dalam, boleh menyewa bot di kawasan di sekitar Nenasi untuk memancing di tengah laut yang dipenuhi ikan kelas A seperti layaran, haruan tasik, kerapu, merah dan tenggiri.

6) Lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi - dari dalam dan luar negara, peminat aktiviti ini melalui jalan pesisir pantai. Kebetulan lokasi ini berada di jalan utama Semenanjung Malaysia antara Kelantan ke Johor Bahru.

Ini adalah destinasi terbaik untuk yang inginkan kelainan.

7) Berdaftar dengan warmshowers.org iaitu organisasi bagi komuniti pengembara berbasikal dunia dan chalet ini menjadi hub persinggahan utama di jalan terpencil antara Pekan ke Rompin sejauh 87 kilometer.

8) Ombak besar - Lokasi tumpuan penggemar panorama yang begitu mengasyikkan, bukan untuk surfing atau meluncur air tetapi sekadar memerhati keindahan alam ketika air pasang terutama semasa musim tengkujuh yang ombaknya boleh mencecah lebih tiga meter.

9) Harga mampu milik - pelbagai pilihan penginapan dengan harga berpatutan untuk semua golongan sama ada Tree House, dan Tube Cabin yang berkongsi bilik air dan tandas, atau The Loft yang lengkap dengan kemudahan itu. Malah ia juga menjadi tumpuan peminat aktiviti camping dengan bayaran minimum.

10) Weekand escape zone - sunyi dan tenang dengan persekitaran kawasan chalet seolah-olah berada di pulau asing, hanya ditemani deruan ombak dan kicauan burung. Ya benar tiada gangguan!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain