Jika ke Bali jangan lupa terokai Nusa Dua... destinasi percutian konsep mewah, happening

Anak penyu berenang ke lautan di salah sebuah pantai di Nusa Dua.

KALAU bercakap tentang destinasi pelancongan dengan pantai-pantai terindah, Bali pasti tersenarai dalam pilihan para pelancong asing.

Ini termasuklah ramai rakyat Malaysia yang suka makan angin di pulau negara jiran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pastikan perjalanan ke destinasi pelancongan bukan lagi mimpi... Pulau, pantai Top 10 tarikan pelancong ke Malaysia

Namun ramai sebenarnya yang sering melawat pulau tersebut tapi lebih kerap ke kawasan seperti Kuta, Seminyak, Ubud dan sebagainya.



Aktiviti berkayak bersama keluarga.

Ramai juga terlupa akan salah satu lagi kawasan kegemaran pelancong iaitu Nusa Dua.

Nusa Dua boleh dikatakan kawasan yang menawarkan percutian berkonsep mewah buat para pengunjungnya.

Bagaimanapun ia tetap mempunyai keindahan semula jadi di samping penginapan dan tempat-tempat yang menarik.



Salah sebuah kuil atau pura di Nusa Dua yang menjadi lokasi yang harus dikunjungi.

Kawasan Nusa Dua juga tidak terletak jauh dari lapangan terbang Denpasar, jadi ia sangat sesuai dijadikan kawasan penginapan buat mereka yang tidak mahu terburu-buru mengejar penerbangan.

Dan sekiranya tercari-cari tempat untuk menginap, terdapat ajnas penginapan mewah di situ. Apatah lagi buat mereka yang sukakan ruang penginapan yang lebih luas berbanding hotel-hotel biasa.

Ramai yang sudah maklum, Bali juga terkenal dengan vila-vila indah yang kerap menjadi pilihan untuk bermalam.



Penginapan di hotel mewah bagi yang inginkan keselesaan.

Antara yang paling menonjol merupakan penginapan di Apurva Kempinski Bali. Selain bilik yang luas dan cantik mereka juga mempunyai vila-vila mewah untuk penginapan seisi keluarga.

Ini termasuklah vila dua tingkat yang mempunyai dua atau tiga bilik, serta kolam renang peribadi.

Ia juga terkenal dengan 250 anak tangga yang bermula dari atas kawasan lobinya yang diilhamkan dari sebuah kuil air iaitu Pura Besakih (sekali imbas mirip anak tangga Batu Caves). Ia sering juga digunakan untuk persembahan.



Apurva Kempinski Bali terkenal dengan 250 anak tangga yang diilhamkan dari sebuah kuil air iaitu Pura Besakih.

Nusa Dua juga mempunyai banyak pantai-pantai indah untuk dinikmati oleh para pengunjung. Sambil menikmati keindahan matahari terbit atau terbenam bolehlah singgah di restoran-restoran di sekitar kawasan Nusa Dua.

Namun yang terkini dan paling unik di kawasan tersebut sekarang adalah Restoran Koral.

Baru dibuka pada tahun 2019, ia merupakan restoran akuarium pertama di Bali yang menawarkan pengalaman makan di bawah air seolah-olah berada di bawah laut!



Cantik dan tenang... Salah sebuah pantai di Nusa Dua.

Selain makanannya yang halal dan lazat terdapat juga peluang untuk menyaksikan penyelam khas memberi ikan-ikan di dalam akuarium itu makanan sewaktu para tamu menjamu selera.

Malah para tamu juga boleh mengambil gambar dari luar sewaktu para penyelam ini singgah di jendela akuarium anda!

Seperti kebanyakan kawasan pantai berkeluasan besar, Nusa Dua juga kerap menjadi pilihan buat penganjuran acara dan majlis tertentu seperti perkahwinan, mesyuarat dan macam-macam lagi.



Aktiviti melihat kehidupan koral.

Bagi yang ingin mencuba sukan air juga ada aneka pilihan tersedia (seperti jetski, menyelam, sukan kanu dan macam-macam lagi).

Nusa Dua juga mempunyai padang golf, serta laluan khas bagi mereka yang suka berlari serta bersenam.

Satu lagi aktiviti yang sinonim dengan Bali, sudah tentulah rawatan urut dan spa. Dan di Nusa Dua terdapat banyak tempat-tempat berkualiti tinggi yang menawarkan perkhidmatan profesional ini.



Ruang acara yang unik di Nusa Dua.

Bagi mereka yang suka membeli-belah bolehlah singgah ke Bali Collection untuk membawa pulang cenderamata.

Untuk sedikit intaian budaya setempat, terdapat juga kuil atau Pura Gegar bagi mereka yang ingin melihat tempat ibadah masyarakat Hindu setempat.

Sebenarnya ada banyak lagi tarikan di kawasan Nusa Dua dan jelas terbukti ia memang satu destinasi pelancongan menarik yang harus diterokai oleh rakyat Malaysia sekiranya inginkan kelainan dari percutian pantai yang sudah sering dikunjungi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Bali, Nusa Dua, Indonesia, Travel, Destinasi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik