suria

‘Road trip’ memang seronok tapi ambil 5 langkah pencegahan ini

'Road trip' bersama teman-teman memang menyeronokkan tetapi dalam situasi sekarang kita harus berhati-hati.

MEMANDANGKAN kerajaan masih belum membenarkan perjalanan ke luar negara, ramai daripada kita memilih untuk bercuti ke destinasi domestik bagi melapangkan fikiran selepas hampir tiga bulan duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

'Road trip' bersama rakan-rakan adalah cara terbaik, namun ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom serbu! Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak Park & Resort dah dibuka... pastikan patuh SOP ye

Sebaik-baiknya, sebelum merancang sesuatu percutian, fikir terlebih dahulu sama ada ia satu keperluan atau pun tidak selain mengambil kira faktor kesihatan diri sendiri dan orang lain.

Selain itu, pilih lokasi yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti balai polis, hospital sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan elak destinasi yang masih dalam zon merah.

Berikut beberapa tip dan pertimbangan bagi yang sedang merancang 'road trip' dalam waktu terdekat ini;

1. Bawa kelengkapan kesihatan

Meskipun kebanyakan hotel menyediakan kelengkapan kecemasan namun tidak ada salahnya jika kita bawa sendiri daripada rumah seperti topeng muka, pencuci tangan, tisu basah, sarung tangan, ubat dan sebagainya.

Ia mungkin mengambil ruang dalam beg anda tetapi percayalah ia sangat berguna sekiranya sesuatu terjadi.

2. Pastikan semua penumpang sihat

Sebelum berangkat ke destinasi ditujui, pastikan semua penumpang tidak mempunyai gejala atau sedang sakit. Ini sangat penting kerana agak sukar untuk menjaga jarak dalam kenderaan kecil yang boleh menyebarkan virus.

Paling baik kalau sebuah kereta hanya menghadkan beberapa orang sahaja agar ada ruang kosong bagi membolehkan penjagaan jarak.

3. Jangan kerap berhenti

Sepanjang perjalanan hindari berhenti ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya tiada sebarang keperluan terutamanya di kawasan ramai orang.

Bawa makanan dan minuman daripada rumah untuk dimakan di dalam kereta malah ia lebih menjimatkan bajet percutian anda.

4. Hati-hati menggunakan kemudahan tempat awam

Sentiasa berhati-hati sebelum menggunakan sesuatu kemudahan awam kerana kita tidak pasti berapa ramai yang telah menggunakannya sebelum kita seperti di tandas, tempat cuci tangan atau pun sajadah di surau.

5. Hirup udara segar

Apabila tiba di kawasan selamat dan bebas daripada pencemaran, matikan penghawa dingin dan buka tingkap kereta untuk menghirup udara segar.

Ia bukan sahaja nyaman tetapi dapat membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental kita saat bercuti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain