suria

Jom serbu! Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak Park & Resort dah dibuka... pastikan patuh SOP ye

Chongkak Park and Resort mula dibuka kepada orang ramai.

AKTIVITI beriadah dan pelancongan semakin banyak dibuka kepada orang ramai selepas hampir tiga bulan 'sunyi' berikutan penularan pandemik Covid-19.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak atau mencari ketenangan di kawasan riadah air, kini tibalah masanya untuk berbuat demikian.

Sejak pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula 10 Jun 2020 dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta perkembangan terkini yang membenarkan taman tema dan taman tema air (termasuk kawasan riadah air) kembali beroperasi pada 1 Julai 2020, sekaligus ia bagaikan perkembangan signifikan kepada operasi sektor pelancongan domestik.

ARTIKEL BERKAITAN: Menara Kuala Lumpur dan Alor Setar dibuka semula, ada kejutan buat pengunjung!

Bagi kaki travel pengumuman tersebut pastinya membuatkan mereka tersenyum lebar selepas beberapa bulan hanya berkurung di rumah tanpa sebarang aktiviti luar.

Apa kata, hujung minggu ini bawa rakan-rakan atau ahli keluarga menghabiskan masa bersama ke Taman Eko Rimba Kanching dan Chongkak Park and Resort yang sudah mula beroperasi pada 6 Julai 2020.



Taman Eko Rimba Kanching kembali beroperasi.

Bagaimanapun, aktiviti perkhemahan masih tidak dibenarkan kerana hanya dibuka sehingga pukul 4.30 petang sahaja.

Namun, jangan terlalu 'excited' memandangkan beberapa peraturan yang perlu anda ikuti sepanjang berada di kawasan rehat ini.

Jangan lupa, hanya 300 orang pengunjung sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Pengunjung tidak dibenarkan berada di dalam kawasan selepas waktu operasi.



Hutan Lipur Sungai Chongkak kini mula dibuka bermula 6 Julai 2020.

Paling penting, semua pengunjung perlu mematuhi garis panduan atau SOP terkini yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti proses imbasan suhu, mendaftar masuk dengan aplikasi SElangkah: Langkah Masuk dengan Selamat serta memastikan jarak sosial satu meter

Jangan lupa juga bawa topeng muka dan pakai serta tidak berhimpun atau berkumpul melebihi 10 orang di lokasi.

Bagi memastikan keadaan selamat, hanya lima orang sahaja berada di pondok rehat dan gazebo pada satu-satu masa.

Walaupun dilihat agak terbatas, namun semua ini adalah untuk memastikan anda semua berada dalam keadaan selamat memandangkan virus Covid-19 ini masih belum hilang sepenunya.

Jadi, beriadahlah secara berpada-pada!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain