Terokai momen indah di Australia, festival Vivid Sydney pasti mempesonakan! - Destinasi | mStar

Terokai momen indah di Australia, festival Vivid Sydney pasti mempesonakan!

Pemandangan Sydney Opera House dan Harbour Bridge diterangi cahaya bergemerlapan sepanjang Vivid Sydney berlangsung. Foto Destination NSW

PASTI teruja. Kota Sydney di Australia bermandikan cahaya dengan penuh warna-warni sempena festival Vivid Sydney yang tentunya memukau pelancong.

Vivid Sydney merupakan festival limpahan cahaya, persembahan muzik dan idea terbesar di Hemisfera Selatan yang bakal berlangsung dari 24 Mei sehingga 15 Jun ini.

Festival ini menghimpunkan pelbagai program antaranya membarisi nama-nama besar dan berinspirasi termasuk bintang-bintang terkenal seperti pembikin filem, Spike Lee, kumpulan muzik elektronik Britain, Underworld dan pengarah, komposer dan penari FKA Twigs.

Menerangi Harbour City dengan kreativiti dan inovasi baharu, festival Vivid Sydney terdiri daripada tiga program utama - Vivid Light iaitu pemasangan lampu berskala besar dan unjuran; Vivid Music yang menampilkan persembahan muzik bertenaga oleh kumpulan pemuzik terhebat serta perkongsian idea kreatif menerusi Vivid Ideas.

Pengalaman menakjubkan Vivid Light terbuka secara percuma sepanjang festival yang berlangsung selama 23 malam itu.

Menyusuri laluan dengan lebih 50 karya cahaya bersinar-sinar menjadikan ia sebagai galeri luar secara meluas, menerangi keindahan Sydney dengan pancaran cahaya yang memukau sepanjang lebih tiga kilometer.   

Menerangi langit bermula 6 petang setiap hari, Vivid Light membawa anda merasai pengembaraan apabila Lighting of the Sails yang memancar ke Sydney Opera House, salah satu keajaiban buatan manusia.

Dari Sydney Opera House, anda boleh menikmati ‘laluan cahaya’ di sekitar harbour front dan Taman Botani Diraja Sydney, selain meninjau Barangaroo, Darling Harbour, Luna Park Sydney, Chatswood dan Taronga Zoo bagi memeriahkan malam di musim sejuk.

Seorang kanak-kanak teruja dengan tanglung yang dipasang di Taronga Zoo. Foto Destination NSW

Selain itu, Pixar Animation Studios juga akan menerangi Argyle Cut in The Rocks yang disenaraikan sebagai warisan di Sydney, dengan tayangan cahaya begitu kreatif.

Tarikan tersebut pastinya memukau pengunjung segenap lapisan umur sebaik mereka melalui pesta visual di sebalik karya seni dan evolusi ikonik animasi dengan kemunculan watak-watak filem Toy Story iaitu Woody dan Buzz Lightyear.

Merentasi lapan kawasan, pengunjung tempatan dan luar negara dinasihatkan untuk merancang kunjungan mereka kerana terdapat banyak hentian yang akan dibuat untuk menikmati pengalaman seni cahaya Vivid Sydney secara meluas.

Mereka yang mahukan prespektif unik dalam festival ini juga boleh memilih untuk menempah aktiviti lain seperti Vivid Cruise iaitu berlayar merasai pengalaman bermandikan cahaya atau Vivid Climb menerusi BridgeClimb bagi menikmati pandangan dari mata burung di puncak jambatan Harbour Sydney.

Pada masa sama, keasyikan festival diserikan dengan Vivid Music, menampilkan kumpulan rock Britain, The Cure dan kumpulan muzik elektronik, Underworld menerusi Vivid Live.

Ia diperhebatkan dengan kumpulan Rufus Du Sol dan popstar FKA Twigs yang akan membuat persembahan di pusat seni Carriageworks, manakala Curve Ball kembali dengan muzik elekronik oleh Hayden James, Mallrat, Touch Sensitive dan Set Mo.

Acara terus dihangatkan dengan persembahan resital yang memukau oleh Kate Miller-Heidke, Zofo dan Concertos on Fire.

Menambahkan lagi kemeriahan festival, Vivid Ideas menganjurkan perbincangan, bengkel dan forum membabitkan figura terkenal seperti Esther Perel dan Spike Lee.

Tarikan utama lain termasuk bengkel-bengkel Mark Colvin Conversation: Net Worth, siri New Horizons and Citizens of the World di mana anda boleh mendapatkan idea bernas dan membincangkan cara pemikiran baharu.

Menaiki belon udara panas sambil menyaksikan keindahan matahari terbit. Foto Destinaton NSW

Siapa sangka, sebenarnya lebih banyak tarikan yang ditawarkan di dalam festival yang amat ditunggu-tunggu ini. 

Beberapa pengalaman undiscovered di bandar dan dikelilingi ikonik Sydney Opera House dan Harbour Bridge tersedia buat anda, di mana pengunjung juga dapat merasai gaya hidup pantai yang unik, dengan kemeriahan deretan kafe penuh gaya yang berbaloi untuk gambar di Instagram dan restoran yang diiktiraf di harbour front.

Selepas merasai makanan laut segar di Sydney Fish Market yang ikonik, anda boleh ke pasar-pasar minggu seperti Carriageworks Farmers Market pada setiap Sabtu dan Bondi Market setiap Ahad.

Anda juga pastinya terpegun dengan keindahan New South Wales yang menyajikan pergunungan Blue Mountains yang terletak hanya satu setengah jam perjalanan dari Sydney.

Pengalaman anda ke tarikan flora dan fauna dengan panorama yang begitu indah memuatkan kunjungan ke sini begitu berharga.

Jika anda merupakan pencinta makanan dan mahu mencuba aktiviti yang lain daripada yang lain, kunjungan ke Hunter Valley, perjalanan dua jam ke utara Sydney tidak harus dilepaskan.

Bagi pengunjung yang bukan Islam, rangkaian pengeluar wain tertua di Australia menawarkan banyak aktiviti menarik termasuk pengalaman menikmati wain.

Anda juga boleh membayangkan keasyikan menaiki belon udara panas sambil menyaksikan keindahan matahari terbit, pengalaman menghasilkan gourmet dan berkunjung ke restoran-restoran yang berprestij, dan bagi bukan Islam boleh melawat ke kilang bir dan penyulingan.

Peluang menyaksikan ikan paus di perairan Sydney tidak harus dilepaskan. Foto Destination NSW

Anda juga boleh mencabar adrenalin dengan meneruskan pengembaraan ke Port Stephens, pengalaman dua setengah jam ke utara Sydney.

Ia menawarkan aktiviti pengembaraan yang unik dan hidupan liar termasuk berpeluang melihat ikan jerung dan ikan pari, berbasikial merentasi laluan persisiran pantai terbesar di hemisfera selatan dan menungggang unta di sepanjang pantai ketika matahari terbenam. Cukup indah bukan?

Anda juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri ikan lumba-lumba dan ikan paus menerusi pelayaran di Sydney, Port Stephens atau Jervis Bay di NSW South Coast.

Dengan musim penghijrahan paus yang bermula pada akhir Mei, secara kebetulan dengan kerancakkan festival Vivid Sidney berlangsung, sekali gus menjadikan kunjungan ke Australia adalah tepat pada masanya bagi menikmati percutian begitu sempurna di Sydney.

Penerbangan terus AirAsia X ke Sydney adalah setiap hari. Anda boleh membuat tempahan tiket di airasia.com (sehingga 19 Mei), dan penerbangan dari sekarang sehingga 2 Jun tahun depan.

Harga promosi bagi keahlian Big bagi penerbangan ekonomi pada RM499 atau Premium Flatbed pada RM1,890.

Turut ditawarkan tempahan meliputi hotel dan penerbangan bermula dari RM1,799 seorang (hotel bermula RM169 semalam) untuk penginapan 5 hari dan 4 malam (5H4M), termasuk tiket penerbangan dan cukai.

Artikel ini dibawa oleh Air Asia X dan Destination NSW.

Artikel Berkaitan