Beg kecil, barang banyak? Ini tip 'packing' ala pramugari, dijamin muat dan mudah - Destinasi | mStar

Beg kecil, barang banyak? Ini tip 'packing' ala pramugari, dijamin muat dan mudah

Seorang pramugari syarikat penerbangan Emirates berjalan menuju ke pesawat sambil membawa bagasi kecil dan beg tangan untuk memulakan tugas. -foto Bloomberg

APABILA berada di lapangan terbang, kita selalu melihat juruterbang, pramugara atau pramugari hanya membawa sebuah bagasi kecil.

Selain bagasi tersebut, mereka biasanya hanya akan membawa satu lagi beg kecil bersama, itu sahaja!

Mungkin ramai yang fikir, mereka terbang tidak lama dan sedang bekerja, bukannya bercuti, maka tak perlu bawa banyak barang seperti orang lain yang naik pesawat.

Tapi… pernahkah anda terfikir jika mereka perlu berada di negara orang dalam tempoh yang lama, bagaimana mereka menyusun pakaian dan barang peribadi lain dalam beg sekecil itu

Pengurus Kanan Skyteam Hub Services Lapangan Terbang Soekarno-Hatta PT. Garuda Indonesia, Engeline Yolanda Kardinal berkongsi tips cara ‘packing’ yang efektif, mudah,dan ringkas.

“Seseorang itu perlu bijak menyusun barang semasa proses ‘packing’ barang yang mahu dibawa," kata Engeline memetik Tempo.

Menurut Engeline, kru pesawat, seperti pramugari dan pramugara yang terbang bertugas ke luar negara pastinya akan membawa pakaian dan barangan peribadi yang sesuai dengan musim negara yang disinggah.

“Pakaian misalnya,jika di sana musim sejuk, mereka juga harus menyiapkan pakaian musim sejuk seperti jaket tebal, shawl, topi dan sebagainya," katanya.


Penumpang perlu bijak menyusun barang atau pakaian apabila membawa bagasi kecil. -fotoAP

Bagi menghadkan jumlah barang yang perlu dibawa kerana saiz bagasi yang terhad, Engeline berkata seseorang itu harus pandai membuat padanan.

“Pilihlah pakaian yang boleh dipakai berulang kali, bukan hanya sekali pakai, seperti seluar jeans dan kasut jenis ‘sneakers’ yang sesuai dipakai dengan sebarang pakaian,” katanya.

Dengan pemilihan baju, seluar dan kasut yang sesuai sudah pasti jumlah pakaian yang dibawa juga tidak akan terlalu banyak dan beg tidak berat.

Engeline menambah, mereka yang selalu terbang perlu membiasakan diri membawa barang secukupnya, sesuai dengan kapasiti bagasi kecil atau hand carry.

Bagi mendapatkan ruang lebihan, sama ada untuk lebih banyak pakaian atau barangan dapat dibawa atau untuk ruang barangan lain yang mungkin dibeli ketika bercuti, anda boleh cuba menggulung pakaian yang dibawa, bukan melipatnya.

“Boleh juga juga gunakan plastik vakum yang jadi trend sekarang untuk memadatkan pakaian " katanya. -Tempo

packing , bagasi , kecil , pramugari , tip

Artikel Berkaitan