suria

Usia Tak Halang Raih Emas

KUALA LUMPUR: Pada usia 46 tahun, Nor Hashimah Ismail masih kelihatan bersemangat di padang dan tiada tanda-tanda yang menunjukkan beliau akan memperlahankan aktivitinya dalam sukan boling padang.

Pemain senior boling padang yang mula beraksi pada Sukan SEA 1999 di Brunei masih beraksi menentang atlet muda dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), malah berjaya meraih pingat emas dalam acara fours wanita.

"Selama 24 tahun saya berkecimpung dalam sukan boling padang ini dan saya rasa umur tidak menjadi penghalang dalam sukan ini sekiranya kita ada kualiti dalam permainan.

"Pengalaman sangat penting dalam boling padang khususnya sewaktu kita bertanding," katanya.

Beliau bersama Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nur Fidrah Noh dan Nurul Alyani Jamil menghadiahkan pingat emas buat negara selepas menewaskan Filipina 24-14 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, Khamis.

Nor Hashimah juga berkata beliau terus akan berjuang demi negara dalam temasya sukan dwitahunan yang akan datang jika masih diberi peluang.

"Walaupun saya diminta untuk menjadi jurulatih tetapi saya memilih untuk bermain. Saya juga gembira kerana masih dapat menyumbangkan pingat kelima pada sukan SEA kelima saya," kata anak jati Selangor itu.

Atlet paling veteran pada temasya Sukan SEA ke-29 itu tidak pernah gagal menyumbangkan emas untuk negara dalam empat penampilan pada Sukan SEA sebelum ini.

Pemenang pingat gangsa kejohanan perseorangan Piala Dunia Boling Padang 2017 itu juga bersedia untuk membimbing generasi muda untuk menggantikan tempat beliau.

Beliau juga berkata prestasi pemain muda negara dalam sukan boling padang amat memberangsangkan dan harus dipuji. 

KL2017, Nor Hashimah Ismail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain