suria

Kejohanan MES 2021: Lebih 2,000 atlet e-sukan berjaya dikumpul, hadiah wang tunai RM100,000 jadi rebutan

Majlis perasmian MES 2021 yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican (dua, kiri), baru-baru ini. foto FB: Maizatul Miza Mohd Disa

LEBIH 2,000 atlet e-sukan negara merebut hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dalam kemuncak Kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021, yang berlangsung selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad ini.

Pengerusi Penganjur MES 2021, Aimanhaq Zaharudin berkata, kejohanan itu melibatkan tiga jenis permainan iaitu PUBG, FIFA21 dan Mobile Legend Bang Bang.

"Kejohanan MES 2021bertemakan 'E-sukan bukan sekadar hobi' berjaya menghimpunkan lebih 2,000 atlet e-sukan negara.

"Sebanyak 16 pasukan daripada setiap kategori akan berentap untuk acara Grand Finale," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Aimanhaq yang juga Pengasas THQ Esports Club berkata, Grand Finale MES 2021 akan dimulakan dengan PUBGM pada Jumaat, sementara, FIFA 21 bakal berlangsung pada Sabtu sebelum acara kemuncak iaitu Mobile Legend Bang Bang pada Ahad.

"Pelbagai kejutan buat peminat e-sukan bakal disajikan pada Grand Finale MES 2021 terutama selepas Team Haq berjaya melepasi pusingan awal kelayakan yang lalu.

"Penonton kejohanan MES 2021 yang bertuah bakal memenangi dua telefon pintar dan sebuah konsol PS5," katanya.

Dalam pada itu dia berkata pusingan akhir pada Sabtu akan menampilkan pemain legenda bola sepak negara Safee Sali yang sentiasa menyokong e-sukan di negara ini.

"Atlet tersohor e-sukan MasterRamen dan Xom juga dijemput untuk berkongsi tip dan komen dengan peminat e-sukan sewaktu Grand Finale MES 2021," ujarnya.

Selain itu, Aimanhaq berkata majlis penutup kejohanan MES 2021 pada Ahad akan dimeriahkan oleh penyanyi dan pelakon Nabila Razali.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain