suria

Pembedahan buku lali berjaya, tapi ‘kepulangan’ Neymar ke PSG masih samar

Doktor belum dapat memastikan bilakah Neymar boleh kembali beraksi. Foto: AFP

DOKTOR masih belum pasti bilakah penyerang Brazil, Neymar akan dapat kembali bermain walaupun pembedahan buku lalinya di Qatar berjaya, kata penolong ketua perubatan Hospital Aspetar pada Sabtu.

Sebelum pembedahan Jumaat lalu, kelab Neymar, Paris Saint-Germain (PSG) berkata pemain berusia 31 tahun itu berkemungkinan akan berehat sehingga empat bulan, sekali gus menyaksikan dirinya diketepikan daripada baki musim ini.

"Neymar Junior telah dibedah semalam (Jumaat), ia berjaya," kata penolong ketua pengarah hospital, Hakim Chalabi.

"Ketika ini dia dalam keadaan yang baik dan gembira," katanya lagi.

Neymar akan dirawat di hospital tersebut sekurang-kurangnya selama dua hari.

Selepas tempoh rehat, PSG akan memulakan fisioterapi terhadap Neymar, kata Chalabi.

"Kemudian kami akan menilai masa untuknya kembali ke padang. Sekarang ini masih terlalu awal lagi untuk dibincangkan," ujarnya.

Tambahnya, kakitangan perubatan PSG akan berunding dengan pakar bedah selepas pemain itu menjalani beberapa pemeriksaan. - Geotv

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain