suria

Kad putih dilayangkan ketika perlawanan bola sepak, kali pertama dalam sejarah... Ramai penonton teruja

Kad putih ini dilayangkan dalam perlawanan di Portugal. Kredit Foto: AGENSI

SEJARAH tercipta dalam dunia bola sepak apabila buat pertama kalinya kad putih dilayangkan dalam satu perlawanan di Portugal.

Kad putih dilayangkan oleh pengadil menandakan permainan yang adil dari kedua-dua belah pasukan.

Selama ini kad kuning dan kad merah telah menjadi kompenen penting dalam setiap perlawanan bola sepak untuk menghukum salah laku pemain.

Namun begitu, persatuan bola sepak Portugal baru-baru ini telah memperkenalkan kad putih dalam perlawanan mereka sebagai satu inisiatif untuk menggalakan permainan adil dan semangat kesukanan dari kedua-dua belah pasukan.

Kad putih bertujuan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan pemain.

Dalam perlawanan bola sepak di antara pasukan perempuan Sporting Lisbon menentang Benfica, pengadil Catarina Campos melayangkan kad putih selepas satu insiden yang menunjukkan semangat kesukanan.

Ketika perlawanan tersebut, seorang pemain jatuh sakit di bangku simpanan, tanpa melengahkan masa kedua-dua pasukan perubatan dari Benfica dan Sporting Lisbon bergegas untuk menghulurkan bantuan.

Pengadil perlawanan kemudiannya melayangkan kad putih kepada kedua-dua pasukan perubatan sebagai satu bentuk penghargaan di atas kerjasama yang diberikan.

Perlawanan yang berlangsung itu adalah kejohanan Piala FA wanita (Taca de Portugal Feminina).

Seterusnya, seorang pemain menerima layangan kad kuning dengan hati yang terbuka tanpa memberikan sebarang tentangan kerana menyedari kesilapan yang dilakukannya.

Pengadil sekali lagi melayangkan kad putih kepada pemain itu sebagai satu bentuk penghargaan kerana mengamalkan permainan adil.

Penyokong di stadium memberikan tepukan gemuruh di atas layangan kad putih tersebut yang merupakan julung kalinya diperkenalkan dalam sejarah bola sepak.

Tujuan utama kad putih diperkenalkan adalah sebagai satu bentuk insentif atau ganjaran untuk kedua-dua pasukan mempunyai semangat kesukanan dalam setiap perlawanan bola sepak. - Daily Mail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain