suria

Tepati ramalan! Bekas ratu skuasy, Nicol David dinobat pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia

Datuk Nicol David membanggakan Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

DI tengah-tengah situasi negara yang sedang berduka dek kerana penularan pandemik Covid-19, muncul satu khabar gembira yang boleh membuatkan rakyat mengukir senyuman.

Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David membanggakan Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

Bintang sukan kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun tersebut meraih 318,943 undi menewaskan calon lain sebaik undian secara talian ditutup malam tadi.

Undian untuk anugerah tersebut diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.

"Ini adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman. Saya berterima kasih menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.

"Ia sesuatu yang agak mengejutkan untuk saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain. Saya rasa bersyukur dan diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.

"Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia," katanya yang muncul sebagai atlet tunggal dari Asia yang dicalonkan bagi anugerah berprestij itu.

Nicol mencipta sejarah tersendiri apabila bergelar pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut sepanjang kariernya.

Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua.

Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.

Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

Untuk rekod, Nicol sebelum ini terpilih sebagai penerima trofi Bintang Sukan Wanita Pilihan Online dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang berlangsung pada 2016. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain