suria

IOC ubah sistem kelayakan ke Olimpik Julai ini

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

BERIKUTAN penangguhan hampir semua acara sukan kerana penularan pandemik COVID-19, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan membuat perubahan mengenai sistem kelayakan untuk memastikan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung mengikut jadual pada 24 Julai hingga 9 Ogos.

IOC dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama badan persekutuan sukan antarabangsa untuk melakukan perubahan terhadap proses kelayakan, kerana sehingga kini hanya  57 peratus atlet yang layak ke temasya terbesar dunia itu.

Perubahan terhadap sistem kelayakan dan peruntukan yang masih ada adalah berdasarkan kepada keputusan semasa (kedudukan ranking dunia atau sejarah keputusan) dan berkemungkinan menggunakan prinsip sedia ada sistem kelayakan (ranking atau pencapaian peringkat benua).

IOC menegaskan kemungkinan menggunakan prinsip dan jadual kelayakan sedia ada jika proses kelayakan itu mempunyai akses yang adil untuk semua atlet dan pasukan, manakala tiada perubahan berlaku pada kuota yang telah diperuntukkan kepada atlet yang berjaya dan Jawatankuasa Olimpik negara perserta  (NOCs).

Menurut IOC,  sebarang pertambahan kuota atlet pula akan dipertimbangkan berdasarkan situasi semasa, dengan mendapatkan sokongan daripada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020.

Badan persekutuan sukan antarabangsa terlibat akan mengemukakan cadangan perubahan terhadap sistem kelayakan berdasarkan kepada prinsip yang dinyatakan dan sebarang perubahan terhadap sistem kelayakan oleh sukan tertentu akan diterbitkan awal April  dan disampaikan kepada semua pemegang berkepentingan, menurut kenyataan itu.

“Kesihatan dan kebajikan semua yang terlibat dalam persiapan penganjuran Tokyo 2020 adalah keutamaan kami. Semua langkah akan diambil untuk memastikan keselamatan dan kepentingan atlet, jurulatih dan pasukan sokongan.“Kami adalah komuniti Olimpik; kami saling menyokong antara satu sama lain dalam susah dan senang. Semangat Olimpik ini mencerminkan kami adalah satu komuniti,” kata Presiden IOC Thomas Bach.

Di samping menggalakkan atlet meneruskan persiapan mereka, IOC berikrar akan melindungi kesihatan semua yang terlibat dan menyokong langkah pencegahan wabak itu serta melindungi kepentingan atlet dan Sukan Olimpik.

“IOC kekal komited terhadap penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berbaki empat bulan lagi sebelum temasya bermula, tidak perlu sebarang keputusan drastik buat masa ini; sebarang spekulasi pada msa ini adalah tidak produktif,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di laman web www.ioc.org, IOC berkata akan terus memantau situasi penularan wabak COVID-19 seluruh dunia menerusi pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada pertengahan Februari lepas.

Pasukan petugas khas yang terdiri daripada IOC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan Kerajaan Metropolitan Tokyo ditubuhkan bertujuan untuk menyelaras tindakan dan sentiasa menilai situasi secara berterusan bagi membentuk perancangan operasi serta sebarang perubahan yang diperlukan.

Pasukan itu juga akan memantau pelaksanaan sebarang tindakan yang diputuskan.

IOC, Sukan Olimpik, Tokyo, Julai 2020

Artikel Lain