suria

“Ia adalah saat istimewa buat kami” - Solskjaer bangga anak buah benam City 2-0

Solskjaer (kiri) bangga apabila anak buahnya berjaya menewaskan Manchester City sebanyak kali pada musim ini. Foto: REUTERS

DUA hari selepas ulang tahun kemenangan mengejutkan ke atas Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, satu lagi kenangan manis berjaya dilakar anak buah Ole Gunnar Solskjaer.

Manchester United berjaya menewaskan Manchester City buat kali ketiga musim ini ketika pertemuan di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi Isnin.

Dengan kemenangan 2-0 itu, United meneruskan rentak cemerlang mereka pada musim ini apabila merekodkan 10 perlawanan tanpa kalah dengan tujuh kemenangan.

"Ia satu penghormatan buat saya mempunyai pemain berdisiplin tinggi. Mereka berjaya menewaskan pasukan seperti Manchester City, sangat luar biasa.

"Sikap, komitmen dan hubungan yang baik dengan peminat kelab dapat diterjemahkan dengan kemenangan menentang musuh setempat.

"Saya tidak pernah menewaskan Pep (Guardiola) sebanyak tiga kali, tetapi pemain-pemain saya pernah. Namun, kita memerlukan dua atau tiga lagi pemain baharu untuk menjadi pencabar utama," ujar jurulatih berusia 47 tahun itu.

Martial (paling kanan) menjaringkan gol pendahuluan buat Manchester United pada minit ke-30. Foto: REUTERS

Dalam pada itu, Solskjaer memuji mutu persembahan dipamerkan Bruno Fernandes.

"Corak permainan Bruno berjaya mengisi kelompongan kami sebelum ini.

"Dia mempunyai segalanya seperti komitmen, keinginan menjaringkan gol serta berani mengambil risiko.

Solskjaer juga mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan Mike Dean yang sepatutnya menghadiahkan sepakan penalti selepas Nicolas Otamendi melakukan terjahan ke atas Fred di dalam kotak penalti.

Manchester United berjaya menewaskan Manchester City dalam kedua-dua perlawanan EPL musim ini, menyaksikan United berada di tangga kelima dengan 45 mata. - Daily Mail

Artikel Lain