Liga Malaysia bakal diserikan dengan dua pengadil wanita

Rita Ghani (kanan) merupakan pengadil wanita negara yang dinobatkan sebagai Pengadil Wanita Terbaik Asia pada tahun 2014.

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang bakal membuka tirai bermula 28 Februari ini, bakal diserikan dengan kelibat pengadil wanita buat julung-julung kalinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata seorang pengadil dan seorang penolong pengadil wanita telah dipilih untuk menggalas tugas mengendalikan Liga Super dan Liga Premier tahun ini.

"Ini adalah salah satu usaha FAM untuk mengetengahkan bakat pengadil wanita. Mereka telah lulus ujian kecergasan dan mempunyai bakat, kita berasa mereka memang layak diketengahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengadil Wanita Terbaik Asia Rita Gani Bakal Bertugas Di Rio

"Selain itu, kita juga telah melatih tambahan 30 pengadil dan penolong pengadil baharu bagi musim ini, sebagai usaha untuk menjaga kesinambungan dalam melahirkan pengadil tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengadilan dan undang-undang bola sepak di Wisma FAM pada Rabu.

Sementara itu, Md Dali turut mengesahkan bahawa jawatankuasa tersebut telah mengenal pasti senarai pengadil dan pegawai perlawanan yang akan mengendalikan perlawanan pembukaan musim ini, iaitu Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim dan Kedah pada 28 Februari ini, tetapi tidak mendedahkan butiran mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa pengadil tempatan akan terus diberi keutamaan dalam mengadili perlawanan Liga-M, termasuk perlawanan penting serta melibatkan aksi Piala Malaysia dan Piala FA.

"Pengadil kita berkualiti dan mendapat pengiktirafan daripada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa. Tetapi terpulang kepada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), sekiranya ada permintaan dari mereka, mungkin kita akan lihat bagaimana.

"Kita juga telah mengelakkan pengadil yang lahir di sesebuah negeri mengadili perlawanan melibatkan negeri yang sama sejak tahun lalu. Kita tahu pengadil memang profesional dalam tugas mereka, tetapi tidak mahu ia dijadikan isu oleh netizen" katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seminar selama sehari anjuran bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan FAM, dapat membantu wartawan dan pegawai media pasukan memahami undang-undang bola sepak dengan lebih mendalam.

Presiden SAM, Jasni Shafie berkata wartawan bertauliah perlu mempunyai pengetahuan yang baik untuk menyalurkan maklumat kepada umum termasuk mempersoalkan kesilapan pengadil dalam sesebuah perlawanan. - Bernama

Pengadil Wanita, Liga Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain