Gigit kemaluan pihak lawan, pemain bola sepak digantung 5 tahun

Mangsa menerima 10 jahitan di kemaluannya. Gambar sekadar hiasan

SEORANG pemain bola sepak amatur telah digantung selama lima tahun daripada menyertai liga bola sepak tempatan di timur Perancis selepas bertindak menggigit kemaluan pihak lawan.

Insiden tersebut berlaku sejurus selepas tamat perlawanan apabila timbul kekecohan diantara pemain kedua-dua pasukan.

Tindakan ganas itu berlaku selepas perlawanan yang berlangsung pada 17 November lalu antara Terville dan Soetrich dalam saingan liga divisyen dua di kawasan tersebut.

Menurut media tempatan di Lorraine, berlaku pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan dan ada pemain Terville yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Namun, nasib malang menimpa pemain Terville berkenaan apabila kemaluannya digigit oleh salah seorang pemain Soetrich.

Mangsa dikhabarkan telah menerima sebanyak 10 jahitan dan terpaksa bercuti selama empat hari.

"Kejadian itu berlaku di tempat letak kenderaan stadium tersebut," jelas Emmanuel Saling yang juga jurucakap bola sepak liga daerah Mosellan tersebut.

"Jawatankuasa disiplin telah memanggil beberapa pemain yang terlibat serta saksi kejadian sebelum membuat keputusan untuk menggantung pemain tersebut selama lima tahun," ujarnya.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 yang juga merupakan mata pertama buat Terville dalam musim tersebut.

Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila Terville didenda dengan pemotongan dua mata liga serta perlu membayar 200 euro (RM903) selepas gagal menepati piawai keselamatan sebagai pasukan tuan rumah. - Vanguard

Gigit, kemaluan, Perancis, digantung

Artikel Berkaitan

Artikel Lain