Tewas 1-0, Klopp beri alasan mengapa Mane dikeluarkan awal

Klopp yakin dapat menebus kekecewaan pada pertemuan timbal balik di Anfield pada 12 Mac.

JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp menjelaskan mengapa dia bertindak untuk mengeluarkan Sadio Mane hanya selepas 45 minit permainan ketika bertemu Atletico Madrid di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi Rabu.

Jaringan Saul Niguez pada minit ke-4 cukup untuk mengesahkan kemenangan bermakna buat pasukan tuan rumah sekaligus meleburkan rekod kemenangan Klopp.

Meskipun menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu Norwich tempoh hari, Sadio Mane digantikan dengan penyerang simpanan, Divock Origi pada permulaan separuh masa kedua.

"Dia (Mane) jelas menjadi sasaran pemain Atletico Madrid. Mereka mahukan dia mendapat kad kuning pada perlawanan ini," ujar Klopp.

Sadio Mane (tiga dari kanan) dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Szymon Marciniak pada minit ke-40.

"Penyerang kami kurang tajam di kawasan pihak lawan serta Atletico Madrid mempunyai kualiti pertahanan yang cukup bagus. Dalam perlawanan yang sukar seperti ini, keputusan 0-0 sudah cukup baik buat kami."

Liverpool gagal untuk menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah gol dan ia merupakan aksi kedua sedemikian dalam 251 perlawanan keseluruhan di bawah kendalian Klopp.

"Ia hanya 1-0 dan kami masih mempunyai perlawanan ulangan di Anfield. Semestinya peluang yang baik untuk menebus semula kekalahan di sini."

Kekalahan The Reds bertambah perit apabila Jordan Henderson terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan yang dialaminya namun Klopp berharap kecederaan tersebut tidak terlalu serius.

Selepas ini Liverpool bakal bertemu West Ham di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kini selesa berada di tangga teratas liga dengan kelebihan 25 mata meninggalkan Manchester City di tangga kedua. - Goal.com

Artikel Lain