suria

Johor umum cuti khas peristiwa sempena julang trofi Piala Malaysia 2019

JDT menjuarai Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Kedah 3-0.

KERAJAAN Johor secara rasmi mengumumkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darukl Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, dalam kenyataan, berkata perisytiharan cuti itu adalah sebagai tanda meraikan serta penghargaan, komitmen dan sokongan padu penyokong skuad Harimau Selatan dalam mengharumkan nama negeri itu.

“Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369],” katanya.

JDT mengukuhkan status selaku pasukan gergasi bola sepak tanah air apabila menjulang Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Kedah 3-0.

Kemenangan itu membolehkan JDT menebus kekecewaan final edisi 2014 di venue ini selain melakar kemenangan kedua ke atas Kedah di pentas final selepas kejayaan menamatkan kemarau 26 tahun menjuarai Piala Malaysia pada edisi 2017.

Kejayaan merangkul piala berprestij itu hadir lima bulan selepas skuad kendalian ketua jurulatih Benjamin Mora dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut, Jun lepas.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan ketiga JDT dalam saingan musim ini apabila turut meraih gelaran juara Piala Sumbangsih sementara Kedah yang menjuarai Piala FA terpaksa melupakan hasrat menambah koleksi kejuaraan.

Pada perlawanan yang disaksikan 82,420 penyokong itu, JDT ternyata berada di kelas tersendiri apabila menyajikan persembahan cemerlang seawal permainan sehinggamenghasilkan dua gol di separuh masa pertama sebelum melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi gol tunggal di separuh masa kedua.

Pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-27 selepas menerima umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera sekali gus menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tujuh minit kemudian, giliran penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 menerusi sepakan percuma yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol sekali lagi meninggalkan Mohd Ifwat tergamam di pintu gol.

Kedah yang terkenal dengan semangat juang tinggi dilihat seakan terus terperangkap dengan mutu permainan disajikan JDT di separuh masa kedua dan gagal menghasilkan sebarang percubaan berbahaya.

JDT terus mempamerkan belang apabila mengasak kubu pertahanan Kedah sebelum pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menanduk masuk gol ketiga JDT pada minit ke-58 dan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia itu diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta turut disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Bernama

Piala Malaysia, JDT, Kedah, Cuti

Artikel Lain