suria

MyArms lobi gusti lengan ke Sukma

Barisan pegawai penganjur dan penggusti lengan membuat gimik pelancaran Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan MyArms Kedua, 2019 yang berlangsung di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya, Sabtu ini.

PERSEKUTUAN Gusti Lengan Malaysia (MyArms) berazam untuk menjadikan sukan itu sebahagian sukan berpingat dalam edisi akan datang Sukan Malaysia (Sukma) sambil meletakkan sasaran mengembangkannya kepada golongan pelajar sekolah terlebih dahulu.

Presiden MyArms, Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata, pihaknya mempunyai pelan induk tindakan untuk menjadikannya satu kenyataan malah wawasan ini pernah dinyatakan dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, satu ketika lalu.

“Kerangka tindakan membawa gusti lengan menjadi sebahagian Sukma, sudah ada dan kementerian ketika itu menyatakan, mereka mahu meihat sejauh mana  promosi yang MyArms jalankan dalam meningkatkan popularitinya pada kalangan belia.

“Bagi kami, kini hampir setiap bulan ada kejohanan dan karnival korporat, universiti dan sekolah yang mengundang MyArms membantu penganjurnya dalam melangsungkan pertandingan secara tertutup dan klinik-klinik gusti lengan.

“Malah aneka video gusti lengan menerusi laman sosial MyArms mendapat berjuta-juta tontonan. Gusti lengan merupakan sebuah sukan yang adil, ada had berat badan dan kategori tertentu. Pendek kata, yang besar tidak semestinya kuat dan yang kecil tidak semestinya lemah.

Faiz Razin (kiri) dan Jake Chia membuat demonstrasi gimik pelancaran Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan MyArms Kedua, 2019.

“Kekuatan diperlukan hanya 30 peratus sedangkan kejayaan yang dicapai penggusti lengan ialah menerusi 70 peratus menerusi kemahiran, latihan dan penggunaan teknik seperti hook, top roll dan press.

“Sukan ini mudah, jimat dan berisiko rendah kecederaan serta tidak perlu peralatan dan kelengkapan atlet. Hanya bawa diri, cukuplah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan Kedua MyArms, 2019 di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya pada Khamis.

Kejohanan pada Sabtu ini di universiti itu bakal disertai antara 150 hingga 200 atlet dari 14 negeri dan Wilayah Persekutuan dalam 17 kategori iaitu belia bawah 18 dan 21 tahun, terbuka wanita, terbuka lelaki kiri dan kanan, orang kelainan upaya serta master (40 dan 50 tahun ke atas).

“Kejohanan Kebangsaan ini merupakan satu-satunya platform MyArms dan prasyarat Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) dalam memilih penggusti-penggusti lengan Malaysia ke Kejohanan Dunia di Rumia, Poland pada Disember ini,” kata Zil.

Antara juara kebangsaan yang dijangka kembali beraksi ialah Safuan Asif, Faiz Razin, Joffey Jolly (juara Asia) dan Jake Chia masing-masing dalam kategori 63, 70 dan 78 kilogram serta keseluruhan.

Safuan juga berada antara 10 terbaik dunia dan lima terbaik Asia berdasarkan pencapaian Kejohanan Dunia 2018 di Antalya, Turki.

“Penggusti lengan terbaik negara daripada Kejohanan Kebangsaan ini juga akan menyertai Kejohanan Terbuka China yang menawarkan hadiah wang tunai terbesar di Asia, AS$100,000 pada bulan depan.

Gusti Lengan, Sukma

Artikel Lain