suria

Terengganu FC lll yakin dapat pertahan kejuaraan Piala Presiden 2019

PETALING JAYA: Juara bertahan, Terengganu FC lll (TFC lll) optimis mampu mempertahankan kejuaraan Piala Presiden 2019 yang akan membuka tirainya bermula bulan hadapan.

Pengurus pasukan Mohd Rashdi Hamat berkata pasukannya hanya mempunyai satu misi iaitu mencipta sejarah menjuarai kejohanan bola sepak khusus buat pemain berumur bawah 21 tahun itu buat kali kedua berturut-turut.

TFC lll mengekalkan khidmat ketua jurulatih dan sembilan pemain daripada skuad musim 2018 turut dikekalkan selain pasukannya juga telah mula melakukan persediaan rapi sejak Disember lepas, katanya.

“Tanggungjawab besar diberikan kepada pasukan adalah mengekalkan gelaran juara. Untuk itu kita akan cuba kekalkan prestasi dan tidak boleh memandang remeh pasukan lain kerana mereka juga bersiap sedia menghadapi cabaran musim ini.

“Dengan jurulatih musim lepas dan barisan pengurusan yang komited, insya-Allah kita mampu mempertahankan kejuaraan buat kali kedua,” katanya pada Majlis Undian Piala Presiden dan Piala Belia 2019 di sini, hari ini.

TFC lll muncul juara Piala Presiden buat kali ketiga pada musim 2018 selepas menewaskan Kedah 2-1 pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Pengurus pasukan PKNS FC Mohd Shahrol Md Sharif turut menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara Piala Belia 2019 meskipun menyedari bakal ditentang sengit pasukan lain.

“Daripada jadual undian itu saya yakin PKNS FC mampu melangkah ke pusingan kedua dan kita akan cuba pertahankan gelaran itu. Daripada segi persaingan, saya melihat semua pasukan mempunyai peluang tetapi juara adalah sasaran utama kami,” katanya.

Jadual kumpulan A dan B Piala Presiden 2019. - Foto Facebook Terengganu FC III

Undian Piala Presiden 2019 menyaksikan TFC lll diundi bersama-sama Felda United FC, PDRM, Perak, PKNP FC, Kuala Lumpur, Melaka, Sarawak, PKNS FC, Kelantan dan Negeri Sembilan dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula membariskan naib juara Kedah, JDT lll, UiTM FC, Selangor, Pahang, Sabah, Perlis, Armed Forces FC, Selangor United, Pulau Pinang dan MISC-MIFA.

Dalam pada itu, undian bagi Piala Belia 2019 pula menyaksikan PKNS FC diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Melaka, Selangor United, UiTM FC, Kuala Lumpur, MISC-MIFA, PKNP FC, SSBJ B-17, Perlis, Kelantan dan Felda United FC.

Sementara Kumpulan B menampilkan Terengganu FC lV, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, JDT IV, Perak, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang. - Bernama


Terengganu FC III

Artikel Lain