suria

KBS terus akan bantu beregu campuran Peng Soon-Liu Ying

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan membantu beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying biarpun pasangan itu membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menghormati keputusan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dalam karier mereka bagi menghadapi kejohanan pada masa depan.

"Mereka berjumpa dengan saya dua minggu lepas untuk memaklumkan perkara ini, tetapi pasangan beregu tersebut menyatakan matlamat dan niat mereka tetap untuk berjuang demi mengharumkan nama negara.

"Kita akan memastikan pasangan itu layak bertanding pada Sukan Olimpik 2020 dan seterusnya dapat memenangi pingat untuk Malaysia," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya kini untuk membantu pasangan beregu berkenaan dan BAM, serta mengeratkan hubungan dengan KBS demi kepentingan sukan badminton negara.

"Berhubung tindakan susulan lain selepas ini, paling penting bagi KBS teruskan membantu mereka dalam segala hal," kata Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar.

Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Peng Soon-Liu Ying menghantar surat peletakan jawatan mereka sebagai pemain kebangsaan pada 29 November lalu.

Menurut kenyataan tersebut, selepas mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, BAM menerima keputusan peletakan jawatan pasangan beregu campuran itu. - Bernama.

Chan Peng Soon, Goh Liu Ying

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain