suria

Ultras Malaya berlepas ke Hanoi untuk final kedua Piala AFF Suzuki 2018

Ultras Malaya merakamkan gambar sebelum berlepas ke Hanoi.

SEPANG: Ratusan peminat bolasepak Malaysia yang dikenali sebagai Ultras Malaya (UM) menaiki penerbangan untuk berlepas ke Hanoi pada Jumaat bagi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium MyDinh.

AirAsia telah menyediakan dua penerbangan pergi balik untuk mereka menyaksikan perlawanan tersebut.

Syarikat penerbangan itu mengadakan majlis khas untuk UM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari Jumaat.

Penerbangan yang dijadualkan pada 15 Dis juga sudah penuh ditempah.

Secara keseluruhan, 345 kerusi telah dijual untuk kedua-dua penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Perniagaan Penerbangan) Bo Lingam, dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir hadir untuk menghantar mereka berlepas.

"Ia merupakan satu usaha hebat oleh AirAsia dan semua penyokong yang akan pergi ke Hanoi bagi menyokong pasukan kita.

"Kami juga berterima kasih kerana Petronas menaja kos bahan api untuk kedua-dua penerbangan dan untuk itu, kami dapat memulangkan RM50 kepada setiap orang," kata Lingam.

Syed Zainal berkata ketika AirAsia mengumumkan penerbangan sewaan ke Hanoi, Petronas berasa terpanggil untuk membantu para penyokong peminat.

"Kami telah bekerjasama dengan AirAsia untuk memainkan peranan kami yang seiiring dengan agenda nasional. Sokongan negara untuk pasukan bola sepak adalah kuat.

"Kami berharap para peminat akan menikmati masa mereka di sana dan ia juga akan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan peminat," katanya. - The Star

Ultras Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain