suria

Hanya digantung satu perlawanan, Ronaldo bakal kembali ke Old Trafford

CRISTIANO Ronaldo bakal bertemu Manchester United meskipun dibuang padang semasa membuat penampilan sulung buat Juventus dalam kempen Liga Juara-Juara menentang Valencia di Mestalla, Sepanyol, awal pagi Khamis.

Bekas pemain Real Madrid itu menerima kad merah kerana menarik rambut pemain pertahanan Valencia, Jeison Murillo dalam pertembungan sengit itu.

Namun sumber UEFA memberitahu Ronaldo hanya akan digantung satu perlawanan sekaligus membolehkannya beraksi menentang bekas kelabnya, Manchester United di Old Trafford pada 23 Oktober depan.

Badan pentadbir bola sepak Eropah telah membuka prosiding tatatertib terhadap Ronaldo dan kes itu akan dibincangkan oleh panel etika dan disiplin, Khamis depan.

Ronaldo tidak ada hak untuk merayu penggantungan satu perlawanan itu tetapi sumber berkata jawatankuasa disiplin yang meneliti rakaman insiden itu tidak menyifatkan hukuman perlu ditambah.

Bekas pemain tengah Manchester United, Darren Flecther berkata:"Ia adalah perintah buang padang secara berlembut kepada Ronaldo tetapi mengikut undang-undang anda tidak patut berbuat demikian, jadi saya fikir penggantungan satu perlawanan akan dikekalkan."

"Dia akan merasakan dirinya menjejaskan semangat rakan pasukan tetapi saya jangka dia akan beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Manchester United."

Ronaldo kelihatan menangis selepas diperintah keluar padang oleh pengadil.

Dalam insiden itu, Ronaldo dan Murillo dilihat bertembung sesama sendiri dalam kotak penalti pada minit ke-29 menyebabkan pemain pertahanan Valencia itu tersungkur.

Ronaldo kemudian dilihat cuba mengangkat Murillo dengan menarik rambutnya, namun pemain Valencia itu bingkas bangun membantah kepada pembantu pengadil di belakang gol.

Ini merupakan kad merah pertama pernah diterima Ronaldo dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang kariernya dan juga 154 penampilan kempen ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain