suria

Terengganu FC perkukuh kedudukan dalam Piala Malaysia 2018

Pemain Terengganu FC (TFC) meraikan kejayaan mereka selepas Mohamad Ashari Samsudin menjaringkan gol pertama pasukannya. - Bernama

KUALA LUMPUR: Empat perlawanan Piala Malaysia 2018 berlangsung Sabtu malam,  menyaksikan Terengganu FC terus memperkukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A dengan mengumpul tujuh mata selepas terikat 2-2 menentang Felcra FC.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Mohamad Ashari Shamsudin yang merembat bola hasil hantaran Tchetche Kipre dari dalam kotak penalti.

Seminit selepas rehat, kealpaan penjaga gol Felcra FC, Mohamad Fazley Abdul Rahim mengundang padah dan Mohamad Ashari bijak menggunakan peluang tersebut untuk menjaringkan gol kedua Terengganu FC.

Pasukan pelawat, bagaimanapun bangkit bertenaga dan menghasilkan jaringan menerusi tandukan Mohamad Alif Samsudin pada minit ke-59 dan seterusnya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui rembatan kencang Abdul Azim Rahim pada minit ke-89.

Terdahulu dalam saingan Kumpulan D, Sabah menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. 

Saingan separuh masa berlangsung tanpa jaringan, namun pada minit ke-78 pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol menerusi Sean Eugene Selvaraj yang menerima hantaran Muhammad Faizzudin Mohd Abidin.

Namun, Sabah berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain gantian Rahman Shah Marajeh pada minit ke-82 dan meraih gol kemenangan dua minit selepas itu, hasil rembatan pemain gantian, Ricco Nigel Milus.  

Kapten pasukan Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Brice Kipre (kanan) diasak oleh pemain pertahanan pasukan Felcra FC pada saingan Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Bernama

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan D, Pahang yang bertandang ke Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, menewaskan tuan rumah, PKNP FC 1-0.  

Gol tunggal Pahang dihasilkan Matthew Davies pada minit ke-83.

Dalam saingan Kumpulan C, Kedah melakar kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia kali ini selepas menewaskan MIFA 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. 

Bagaimanapun pasukan pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan kencang pemain import, Kpah Sean Sherman selepas mendapat hantaran Beomgeun Bae yang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid pada minit ke-27.

Pasukan kelab itu hampir memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti yang diambil Elizeu Araujo De Melo Batista, selepas Sherman dijatuhkan pertahanan Kedah, Muhamad Norfiqrie Abdul Talib, namun berjaya diselamatkan Abdul Hadi pada minit ke-38.

Pada minit ke-42, pasukan Lang Merah bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Liridon Krasniqi selepas ketua pasukan, Sandro Da Silva dijatuhkan Elizeu Araujo.

Pasukan MIFA sekali lagi mendahului selepas mendapat gol kedua menerusi jaringan sendiri Muhamad Syazwan Tajudin ketika cuba menghalang bola sepakan Beomgeun pada minit ke-47 dalam kotak penalti.

Gol penyamaan Kedah diperoleh menerusi rembatan Liridon selepas menerima hantaran Mohd Asri Mardzuki pada minit ke-59 dan diikuti dengan jaringan kemenangan Sandro pada minit ke-65. - Bernama

Terengganu FC

Artikel Lain